LANGSUNG: Najib terperangkap dalam trafik, perbicaraan tangguh awal


Bede Hong Ravin Palanisamy

Semalam, Najib Razak menafikan beliau mempunyai kuasa mempengaruhi pengurusan KWAP dan SRC International Sdn Bhd. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Disember, 2019.

NAJIB Razak akan terus disoal balas Peguam Negara Tommy Thomas pada peringkat pembelaan perbicaraan kes menyelewengkan RM42 juta dana SRC International yang masuk hari keempat.

Soalan yang dikemukakan Thomas berkenaan undang-undang perdagangan dan urus tadbir dan selepas itu sesi soal balas akan diteruskan oleh Timbalan Pendakwa Raya V. Sithambaram.

Najib yang merupakan saksi pertama pembelaan pada Isnin lalu selesai membaca kenyataan saksinya setebal 243 muka surat.

Semalam, Najib menyangkal cadangan Thomas bahawa beliau mempunyai kuasa mempengaruhi lembaga serta pengurusan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dan SRC International Sdn Bhd.

Bekas perdana menteri itu disoal mengenai pengaruhnya dalam pinjaman pertama KWAP berjumlah RM2 bilion kepada SRC International. Pendakwaan juga mencadangkan bahawa Najib mengawal lembaga pengarah SRC International kerana beliau berkuasa dalam lantikan dan pemecatan.

Ahli Parlimen Pekan itu juga memberitahu mahkamah tindakannya memecat Muhyiddin Yassin dan bekas menteri pembangunan luar bandar dan wilayah Mohd Shafie Apdal dari Kabinet pada 2015 adalah dalam bidang kuasanya.

Menurut Najib, Muhyiddin dan Shafie dipecat bukan kerana tidak bersetuju mengenai 1MDB tetapi kerana mengeluar kenyataan di luar mesyuarat Kabinet.

Kedua-duanya berkata mereka dipecat kerana mengkritik cara Najib mengendalikan skandal 1MDB.

Muhyiddin kini adalah presiden Bersatu, iaitu parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) manakala Shafie merupakan presiden Warisan, sekutu PH.

Pertuduhan ke atas Najib dalam kes SRC International berkaitan dengan pinjaman RM4 bilion diberikan kepada syarikat itu pada 2011 dan 2012, apabila beliau didakwa menerima suapan RM42 juta yang masuk ke dalam akaun peribadinya antara 2014 dan 2015.

Prosiding pembelaan dijangka berlangsung sehingga 19 Disember di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

The Malaysian Insight membawakan siaran langsung prosiding hari ini: 

4.56pm: Nazlan benarkan permohonan pendakwaan supaya perbicaraan bersambung pada Rabu, jam 9 pagi.

4.55pm: Sithambaram beritahu mahkamah pendakwaan memerlukan sedikit masa untuk meneliti kenyataan saksi Najib setebal 243 muka surat untuk persiapan sesi soal balas seterusnya.

4.45pm: Hakim Nazlan beritahu Shafee perkara ini tidak boleh berulang. Shafee memohon maaf kepada Nazlan. 

4.41pm: Shafee hubungi Najib, kemudian beliau maklumkan kepada Hakim Nazlan yang anak guamnya itu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di Jalan Tun Razak.

4.38pm: Prosiding bersambung tetapi Najib tiada.

4.13pm: Thomas selesai menyoal Najib. Mahkamah berehat sebentar.

4.11pm: Najib berkata beliau meminta SRC International bawa balik wang tersebut ke Malaysia. Thomas bertanya adakah Najib terkejut tentang apa yang terjadi kepada wang tersebut.

Thomas: Tak terkejut apa yang terjadi pada dana itu?

Najib: Sebab itu kami lantik SRC International.

Thomas: Tapi bukan SRC International yang sedang dibicarakan. 

Najib berkata beliau tidak memanggil lima pengarah kerana telah beri arahan kepada SRC International berbuat demikian.

4.04pm: Najib beritahu mahkamah beliau menyedari SRC International menghadapi masalah aliran tunai apabila syarikat itu memohon pinjaman RM300 juta dari Kementerian Kewangan untuk membayar hutang kepada KWAP.

Tambah Najib, beliau tidak mengambil tindakan terhadap dana SRC International yang dibekukan kerajaan Switzerland kerana ia sepatutnya dilakukan oleh pengurusan syarikat tersebut.

3.59pm: Thomas beritahu mahkamah bahawa pada 4 November 2015 Kabinet mengeluarkan memo mengenai kelulusan kerajaan bagi pinjaman jangka pendek berjumlah RM100 juta kerana wang SRC International di Switzerland dibekukan negara itu.

SRC International mempunyai masalah aliran tunai dalam tempoh 3½ tahun daripada pinjaman RM4 bilion yang diberi.

Najib: Saya tak tahu berapa banyak yang dibekukan di Switzerland, tetapi kalau kerajaan Switzerland bekukan dana itu, bermakna dalam akaun tersebut ada duit.

3.45pm: Najib tidak setuju dengan cadangan Thomas bahawa Putrajaya memberi dua jaminan kerajaan berjumlah RM4 bilion atas gesaannya.

Najib: Semasa SRC International mula ditubuhkan dengan sokongan Unit Perancang Ekonomi, ia mesti ada cukup dana. Sebab itu kerajaan setuju dan luluskan jaminan kerajaan.

Thomas: Hari ini pun jawapan kamu berselindung.

Najib: Saya tak setuju.

Najib beritahu mahkamah beliau menolak permohonan menteri kewangan II ketika itu, Ahmad Husni Hanadzlah, untuk ke Switzerland kerana ia bukan permohonan rasmi.

Ahmad Husni mahu ke Switzerland kerana wang SRC International dibekukan kerajaan negara itu.

3.08pm: Thomas memberitahu Najib bahawa pinjaman kedua itu dikeluarkan dalam satu bayaran pada 23 Mac 2012. Thomas bertanya sama ada bekas perdana menteri diberitahu mengenainya.

Najib berkata beliau tidak boleh ingat, tetapi menambah bahawa semuanya dilakukan mengikut proses.

Thomas bertanya lagi jika Najib diberitahu secara peribadi tentang pembayaran itu.

Thomas: Bilakah kamu diberitahu secara peribadi?

Najib: Saya tidak ingat.

2.55pm: Thomas berkata untuk pinjaman pertama, KWAP mengadakan mesyuarat khas, tetapi hanya mesyuarat umum dipanggil untuk pinjaman kedua, yang “pre-approved”. Beliau bertanya sama ada Najib adalah “pembuat keputusan” untuk pinjaman kedua.

Thomas: Setakat yang diketahui KWAP, kamu pembuat keputusan sebenar bagi pinjaman ini?

Najib: Saya tidak setuju.

2.47pm: Thomas bertanya Najib jika keputusan untuk membuat pinjaman KWAP kedua adalah daripada beliau, dan sama ada lembaga pengarah SRC International mengesahkannya. Najib tidak bersetuju.

2.39pm: Mahkamah bersambung selepas makan tengah hari.

12.55pm: Mahkamah berhenti rehat tengah hari.

12.43pm: Thomas: Kamu tak pernah tandatangan minit mesyuarat macam ini (merujuk kepada minit mesyuarat pemegang saham)?

Najib: Tak pernah.

12.38pm: Najib nafi turunkan tandatangan pada minit mesyuarat pemegang saham apabila Thomas bertanya jika tertuduh pernah menandatangani sebarang dokumen tersebut.

Thomas: Cuba ingat betul-betul, kamu tak pernah tandatangan dokumen-dokumen ini (minit mesyuarat pemegang saham)?

Najib: Tak pernah.

Najib beritahu mahkamah tandatangannya mungkin dipalsukan.

Najib: Kalau dipalsukan, maka ia akan nampak macam tandatangan saya.

12.13pm: Thomas tanya kepada Najib jika beliau ada bertanya lembaga pengarah SRC International apa yang terjadi kepada pinjaman pertama KWAP, selepas jaminan kerajaan dimohon?

Najib: Ya, saya ada tanya.

Thomas: Ada tanya duit itu ada di mana?

Najib: Saya tanya ke mana duit itu pergi, tetapi mereka kata ada perancangan untuk melabur bagi pinjaman ini (pinjaman kedua).

Thomas: Kamu akan sokong walaupun tak tahu?

Najib: Ya.

Najib berkata SRC International memohon pinjaman kedua kerana pinjaman pertama tidak cukup untuk pelaburan.

12.06pm: Thomas tanya kepada Najib jika tahu wang dipindahkan ke Hong Kong sekitar September atau Oktober 2011.

Najib jawab tidak.

Pasukan pembelaan membantah soalan Thomas.

Thomas: Jadi, selepas jaminan kerajaan diberi Datuk Seri tidak berminat dengan perkara berkaitan SRC International?

Najib: Itu perkara berkaitan operasi.

11.34am: Jaminan kerajaan oleh Kabinet bagi pinjaman RM2 bilion diberi pada 17 Ogos 2011, dan pinjaman dikeluarkan pada 29 Ogos 2011.

Thomas berkata itu hanya 12 hari selepas Kabinet meluluskan jaminan kerajaan tersebut.

Thomas tanya Najib adakah pinjaman dipercepatkan kerana campur tangan bekas perdana menteri itu.

Najib tak setuju. 

11.30am: Thomas menyoal Najib mengenai pinjaman pertama KWAP berjumlah RM2 bilion kepada SRC International.

Thomas beritahu mahkamah bahawa saksi, Wedani Senan yang ketika itu pengurus Unit Pusat Kiriman Rentas AmBank, ketika memberi keterangan berkata RM2 bilion dimasukkan ke akaun SRC International dalam empat tranche (RM500 juta bagi setiap transaksi).  

Adakah Najib tahu mengenainya, soal Thomas.

Najib berkata berkara itu berkaitan dengan operasi dan beliau tidak tahu mengenainya.

“Ini urusan operasi. Saya tak tahu mengenai operasi, Saya hanya tahu tentang jaminan kerajaan,” kata Najib.

11.24am: Prosiding bersambung.

Bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor (kiri) bersama Najib Razak ketika perbicaraan kes SRC International berhenti rehat. Turut kelihatan adalah Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan. – Gambar The Malaysian Insight, 11 Disember, 2019.

10.52am: Mahkamah rehat sebentar.

10.22am: Thomas berkata dokumen yang ditunjukkan dan cadangan kepada KWAP adalah sebelum lantikan lembaga pengarah SRC International dibuat.

Merujuk kepada jawapan Najib semalam, Thomas berkata tertuduh menyebut bahawa tindakannya adalah mengikut nasihat lembaga pengarah SRC International.

Kemudian Thomas bertanya, bagaimana Najib boleh membuat keputusan bagi tujuh dokumen tersebut sedangkan lembaga pengarah belum lagi wujud ketika itu

Najib: Ia mungkin dikemukakan oleh Datuk Shahrol (CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi).

Thomas: Saya katakan bahawa semua keputusan dibuat oleh kamu sendiri.

Najib: Saya tidak setuju.

10.20am: Thomas tunjuk kepada Najib barang kes SRC International:

  • cadangan perbadankan SRC International (4 Januari 2011)
  • CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil memohon pinjaman RM3,95 bilion, yang dihantar kepada Najib (3 Jun 2011)
  • e-mel dari bekas naib presiden KWAP Amirul Imran Ahmad kepada Nik Faisal (29 Jun 2011)
  • pertukaran e-mel Nik Faisal (1 Julai 2011)
  • kertas cadangan bagi RM1 bilion (2 Julai 2011)
  • kertas cadangan bagi RM2 bilion (11 Julai 2011).

9.53am: Thomas menerangkan bagaimana pinjaman diberi oleh bank, mengapa ia perlukan penjamin dan apakah tindakan yang bank akan ambil jika peminjam gagal menjelaskan pinjaman.

9.25am: Mahkamah mula bersidang. Najib duduk di kandang saksi. Thomas memulakan sesi soal balas. – 11 Disember, 2019.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen