40 warga Malaysia terlibat IS ditahan di Syria, kata pakar


Alfian Z.M. Tahir

40 orang warga Malaysia dipercayai ditahan di penjara dan kem kemanusiaan di seluruh Syria dan sempadan Turki. – Gambar AFP, 11 Disember, 2019.

EMPAT puluh orang rakyat Malaysia dipercayai ditahan dalam penjara dan kem kemanusiaan di seluruh Syria yang menyukarkan pihak berkuasa negara ini mengesan dan memulakan proses membawa mereka pulang, kata penganalisis keganasan Dr Ahmad el-Muhammady.

Pengganas Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (IS) warga Malaysia itu ditahan dalam penjara, sementara keluarga mereka ditempatkan dalam kem seluruh Syria.

Ahmad memberitahu The Malaysian Insight yang usaha membawa mereka pulang sukar kerana pihak berkuasa Malaysia perlu mengesan lokasi mereka.

“Ia mencabar kerana lelaki ini ditahan di pelbagai penjara, di seluruh Syria dan berhampiran sempadan Turki. Manakala wanita dan kanak-kanak ditempatkan dalam kem menyebabkan usaha menyatukan keluarga ini satu cabaran besar.

“Tidak ada pihak berkuasa di lapangan yang boleh membantu proses ini dengan berkesan.

“Ada banyak birokrasi, situasi kelam kabut dan mereka tidak ada sistem untuk mengesan siapa berada di mana. Malah tidak ada senarai nama yang kita boleh rujuk,” kata pensyarah kanan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu.

Bahagian Pencegahan Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman mendedahkan terdapat 40 warga Malaysia di Syria termasuk wanita dan kanak-kanak.

Mereka adalah anggota IS sebelum kejatuhan kumpulan pengganas itu selepas dikalahkan tentera Syria dan kematian pemimpin mereka, Abu Bakr al-Baghdadi baru-baru ini.

Ahmad berkata pengunduran tentera Amerika Syarikat juga memburukkan lagi keadaan.

“Sekarang ada risiko keselamatan di Syria selepas pengunduran tentera Amerika Syarikat. Tidak ada pihak berkuasa yang berkesan di lapangan dan lelaki yang ditahan dalam penjara dengan mudah boleh terlibat dengan kumpulan lain,” tambahnya.

Ahmad berkata laporan perisikan mendedahkan seorang pengganas warga Malaysia hilang selepas menyerah diri kepada pihak berkuasa di sana. Tambahnya, sekarang tiada lagi pengganas warga Malaysia di Syria.

“Mereka sekarang sama ada sudah meninggal dunia atau ditahan. Terakhir ialah bekas pemuzik kumpulan pop rock dan seorang lagi dikenali sebagai Rafi Udin,” katanya.

Bulan lepas media melaporkan bekas pemain drum Ukays, Akel Zainal yang menjadi ketua pengganas di sana, terbunuh bersama-sama isteri dan anak mereka dalam serangan udara Rusia di Syria pada Mac lalu.

Difahamkan Akel, atau nama sebenarnya Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin dan keluarganya terbunuh dalam serangan udara ke atas rumah mereka di Baghouz, Syria.

Seorang lagi pengganas warga Malaysia Mohd Rafi Udin, atau dikenali sebagai Abu Awn Al-Malizi juga maut dalam serangan udara Rusia pada Januari.

Pada Oktober 2018, pihak berkuasa Malaysia membawa pulang seorang wanita warga Malaysia dan dua anaknya.

Wanita tersebut yang dikenali sebagai Aisyah, mahu pulang selepas suaminya warga Malaysia terbunuh dalam pertempuran pada Februari tahun sama.

Beberapa warga Malaysia dilaporkan maut di Syria. Antaranya adalah pengganas digeruni Muhammad Wanndy Mohamed Jedi yang terbunuh pada 2017.

Menurut laporan, Wanndy, atau dikenali sebagai Abu Hamzah Al-Fateh dipercayai menjadi dalang beberapa serangan di negara ini termasuk pengeboman sebuah pusat hiburan di Puchong, Selangor pada 2016. – 11 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen