MOHAMMED Yusoff Rawther selesai memberi penjelasan kepada soalan susulan di Bukit Aman selama tiga jam petang ini, kata peguamnya Mohamed Haniff Kathri Abdulla.
Dalam satu kenyataan Haniff berkata lelaki berusia 26 tahun itu memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap polis walaupun telah disoal siasat selama lapan jam sehari sebelumnya.
“Kenyataannya hari ini diambil dari 12.30 tengahari sehingga jam 3 petang. Yusoff meninggalkan Bukit Aman sekitar jam 3 petang.
“Sekali lagi seperti semalam Yusoff memberi kerjasama sepenuhnya dan jika diperlukan beliau akan berbuat demikian serta memberi kenyataan lanjut dari semasa ke semasa seperti yang diminta oleh polis bagi memastikan siasatan lengkap dan teliti dilakukan atas laporannya,” katanya.
Terdahulu Haniff memberitahu The Malaysian Insight bahawa Yusoff akan sekali lagi ke Bukit Aman bagi menjawab lebih banyak soalan mengenai laporannya yang mendakwa ada salah laku seksual dilakukan oleh Anwar Ibrahim.
“”Ya, dia dipanggil hari ini. Bukan sesi baharu tetapi hanya untuk melengkapkan beberapa soalan susulan. Tidak lebih daripada itu.
“Dia hadir seorang, dan tidak ditemani saya kerana saya ada urusan kerja lain seharian,” kata Haniff kepada The Malaysian Insight.
Terdahulu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan polis memanggil Yusoff sekali lagi berkaitan tuduhannya diserang secara seksual oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Yusoff ditemani Haniff berada di Bukit Aman selama lapan jam untuk memberikan keterangan kepada polis.
Haniff berkata polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
“Buat masa ini polis menyiasat di bawah Seksyen 354. Tetapi mereka mungkin masukkan pertuduhan lain jika perlu,” katanya kepada wartawan, malam tadi.
Yusoff, 26, baru-baru ini membuat laporan polis di Balai Polis Sentul terhadap Anwar yang didakwanya melakukan salah laku seksual terhadapnya dalam satu kejadian berlaku lebih setahun lalu.
Bekas penyelidik, yang bekerja di pejabat Anwar dari September 2018 hingga Mei 2019, mendakwa dalam akuan bersumpah bahawa presiden PKR cuba memaksanya melakukan perbuatan seks di Bukit Segambut, Kuala Lumpur, pada 2 Oktober tahun lepas.
Sementara itu Haniff menjelaskan beliau masih belum menerima apa-apa notis tuntutan daripada peguam Anwar Ramkarpal Singh.
“Saya tak terima apa-apa. Beliau boleh melakukannya dengan hubungi firma saya,” katanya.
Sebelum ini Ramkarpal berkata surat tuntutan yang dikemukakan kepada Yusoff di alamatnya di Pulau Pinang telah dikembalikan kerana dia tidak lagi tinggal di sana.
“Kami tidak boleh melakukan serahan surat kerana beliau tidak tinggal di sana lagi.
“Kami tiada maklumat lain mengenainya. Kami sedang semak dengan sumber untuk mengesannya,” kata Ramkarpal. – 10 Disember, 2019.
Komen