PENAGIH, pengedar dan keldai dadah perlu dibezakan kesalahannya bagi memastikan mereka mendapat keadilan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong.
Kata Liew lagi, tumpuan penguatkuasaan perlu diberikan kepada penyeludupan dan pengedaran bekalan dadah skala besar.
Jelasnya, dalam banyak operasi rampasan dadah bernilai besar tiada dalang atau suspek yang ditahan dan diheret ke muka pengadilan berbanding operasi bernilai kecil.
“Seorang individu yang mengedar dadah seberat 16 gram, 50 gram ditahan, didakwa di mahkamah sebelum diperintahkan untuk menjalani hukuman bunuh (mati).
“Pada masa yang sama, dadah bernilai 3 bilion dirampas tetapi dalangnya tidak ditahan.
“Jadi, apa berlaku di sini? Kita perlu membezakan kesalahan antara pengedar, penagih dan keldai dadah dalam mengatasi isu seperti ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Hari Hak Asasi Manusia 2019, hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan penagih dadah masih perlu dihukum tetapi perbezaan kesalahan perlu dilakukan.
Menurutnya, ada pengedar dadah yang bukan penagih atau keldai dadah dan mereka melakukan jenayah itu untuk tujuan komersial.
“Jadi, mereka ini yang sepatutnya dihukum atas kesalahan pengedaran dadah,” katanya.
Januari lalu, Liew mencadangkan beberapa seksyen Akta Dadah Berbahaya 1952 dikaji semula untuk membetulkan pendekatan hukuman sedia ada.
Liew juga pernah mencadangkan penggunaan dadah dilihat melalui sudut kesihatan sosial dan diselia melalui sektor kesihatan dan bukan ditangani melalui sistem pengadilan jenayah. – 10 Disember, 2019.
Komen