Radiogram dan kebebasan ala komunis Bulgaria


Hadri Shah

“REVOLUSI terunggul dalam sejarah manusia, masa lalu, sekarang dan masa depan, adalah revolusi daripada mereka yang bertekad untuk bebas”.

Percayalah! Kebebasan ialah ceritera panjang yang tidak akan pernah siap dibincangkan. Ia seksi, elegan tetapi pada masa yang sama kompleks dan sulit untuk disepakati.

Sejatinya, kebebasan terbit dari jeritan anarkistik seorang manusia. Tiada satu pun makhluk bernyawa rela diperintahkan melainkan si bodoh yang menolak kemerdekaan diri.

Seorang anak remaja barangkali memberontak kerana kebebasan bersosial bersama rakan sebaya dinafikan ibu bapanya. Manakala seorang pekerja bertindak berhenti dari kerja yang memenjarakan demi kelazatan mencicip secawan kopi di hujung dunia. Atau dalam kasus yang lebih berat, jeritan batin rakyat yang meronta-ronta berjuang melawan penjajahan – ini semuanya berlaku kerana kesaktian sebuah perkataan: kebebasan.

Bagaimanapun, kebebasan menurut kata Camus bukanlah sebuah kurniaan melainkan ia perlu diperjuangkan. Keinginan anak remaja menikmati keseronokan bersama rakan sebaya, pekerja yang dilenjan kerja yang tidak berpenghujung, pejuang kemerdekaan yang menuntut negerinya dibebaskan, ternyata sebuah permintaan yang sukar mendapat restu. 

Semacam tradisi yang menyakitkan, kebebasan hanya boleh dicapai melalui ketegasan sebuah perjuangan. Tanpanya, ia nyaris tidak ubah seperti agenda basa- basi yang melucukan.

Namun, selain kesedaran individu, kumpulan atau komuniti bahawa idea kebebasan itu sesuatu yang esensial, terdapat juga bahagian-bahagian di mana idea ini dijaja kelompok parti politik. Oleh sebab idea ini sangat menarik, maka parti politik dengan mudah mendapat dukungan dan sokongan dari seluruh masyarakat.

Soalannya, apakah kebebasan seperti yang dijanjikan sebelumnya berlaku saat parti politik mengecapi nikmat berkuasa? Atau saja, ia terbatas mengikut garis panduan Negara, seperti selalu yang dicetak pengalaman lalu?

Radiogram, sebuah filem indipenden dari negara Balkan, Bulgaria mengupas tema autentik ini.

Pada 1971, Bulgaria diperintah komunis. Tawaran ‘kebebasan’ dari golongan borjuis/ kapitalis dengan gantian ‘kediktatoran proletariat’ sebenarnya adalah mimpi ngeri yang pernah diamarankan Mikhail Bakunin kepada Karl Marx hampir seratus tahun silam.

Buktinya, saat Bulgaria memeluk komunisme, kebebasan hanyalah omong kosong. Radiogram membingkaikan keadaan pemerintah yang melarang segala bentuk ekspresi agama. Rakyat yang mempunyai nama-nama Islam, atau namanya tidak cukup moden di sisi Negara, dipaksa tukar mengikut nama-nama yang diiktiraf Negara . Bahkan mendengar lagu-lagu rock & roll juga adalah dosa besar.

Rouzie Hassanova pengarah filem ini menemukan kita kepada naratif gelap Bulgaria pada tahun 1971.

Sinematografi filemnya cukup indah. Ia mendokumentasikan suasana sebuah kawasan kampung pedalaman yang memiliki keindahan separuh syurga dan pemandangan yang spektakular. Malang sekali, kenyataannya penduduk kampung hidup dalam ketakutan. Mereka menderita. ‘Syurga’ tempat penghunian mereka tidak bernilai apa-apa kerana nikmat paling ‘dalam’ dambaan seorang manusia didustakan penguasa.

Semuanya gara-gara sifat syaitan Zahariev, pemuda kampung yang meninggalkan segalanya demi sut berkilat, nikmat menghisap curut dan keangkuhan sebagai pegawai kerajaan komunis. Dia memantau, menyerbu, menangkap dan menghukum mana-mana penduduk yang mengingkari arahan negara.

Zahariev memusuhi Ali, seorang pemuda kampung yang menikahi Yasmin dan mempunyai dua orang anak kecil yang salah seorangnya obses akan muzik rock & roll Amerika. Ketiga-tiganya sudah mengenali satu sama lain lama sebelum Zahariev menjual maruahnya. Konflik personal antara merekalah yang ‘menjual’ filem ini.

Konflik bermula apabila si pegawai celaka mengesyaki anak lelaki Ali mencuri-curi dengar lagu rock & roll buatan Amerika. Bimbang dihukum, Ali langsung merosakkan radio anaknya. Tetapi kerana kasihnya seorang ayah, Ali membuat keputusan keluar mengembara beratus kilometer berjalan kaki ke pekan untuk membeli radio baru untuk anaknya.

Membeli sebuah radio bukanlah urusan sukar. Tetapi pada 1971, ia sebuah cabaran maha berat.

Ada satu babak ketika Ali sedang memotong kayu sambil berdialog dengan Yasmin tentang keputusannya menipu Zahariev demi menyelinap keluar ke pekan membeli radio, Yasmin membantah tindakannya yang barangkali mengakibatkan hukum. Ali dengan tegasnya menjawab “aku sebenarnya sudah lama mati!”.

Ketegasan Ali di babak itu menanyakan kembali makna sebenar kebebasan. Jeritan “aku sebenarnya sudah lama mati!” ialah pergelutan atas kontradiksi antara keinginan individual dan apa yang sudah digariskan oleh penguasa. Persoalan seperti bagaimana kebebasan boleh dikecapi seandainya undang-undang negara sering melanggar hak individu berkeputusan merebak di sepanjang filem ini.

Herry ‘Uchok’ Sutresna, legenda rap daerah Bandung merakamkan perihal yang lebih kurang sama dalam esei ‘Bapak’ yang terkandung dalam bukunya ‘Setelah Boombox Usai Menyalak’.

Terang Herry, bapanya merupakan peminat musik barat seperti The Beatles dan Black Sabbath. “Ini cukup menghairankan, mengingatkan bapa sempat menjadi bagian dari gerakan kiri yang pemimpin revolusinya melarang musik ngak-ngik-ngok didengar oleh anak bangsanya. Untuk ukuran seorang pengagum Soekarno saat itu, selera musik bapa cukup ‘borjuis’.”

Radiogram pada asasnya ialah kisah perjalanan seorang bapa membeli sebuah radio. Sesederhana itu. Namun mengenangkan kembali subjek-subjek yang ditekankan seperti keyakinan beragama dan kehendak-kehendak peribadi lain yang mesti menurut acuan penguasa, kebebasan adalah tema berat yang sentiasa akan bergolak. 

Sepertinya, kebebasan apa yang kita bualkan sehingga sekecil-kecil perkara mesti mendapat izin penguasa? Kalau selera muzik juga mesti disaring apa yang boleh dan apa yang tidak, maka jujurkah kita berbicara mengenainya?

Hari ini, setelah dinding Soviet runtuh diganti dengan era kebangkitan haluan kanan dari benua Amerika, Eropah sehingga ke Asia, kebebasan masih sukar disepakati kerana lewatnya pemikiran mundur yang mengatakan ianya mesti dipagari dengan limitasi limitasi tertentu. Rencah agama serta ketakuan-ketakutan yang terendam dalam minda masyarakat teradun pekat membuatkan wajah kebebasan semakin suram.

Kebebasan mesti dilihat positif. Ia bukanlah permulaan kepada kerosakan,kemusnahan moral dan sebagainya. Ia adalah jalan menemukan manusia dengan keinginan dan keyakinan peribadi. Walau apapun keputusannya, ia mesti dihormati selagi mana tidak menyinggung, menindas dan merosakan sekeliling.

Radiogram yang ditayangkan pada 2017 memperingatkan kembali kalaulah sekecil-kecil kebebasan pun mesti melalui acuan penguasa, maka ia kekal sebagai perkataan paling palsu yang menyenangkan. – 10 Disember, 2019.

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen