MASYARAKAT Malaysia masih berpegang kepada tanggapan bekas penjajah bahawa kaum dan agama tertentu lebih tinggi kedudukannya berbanding yang lain, kata Marina Mahathir.
Aktivis hak asasi manusia terkenal itu berkata, konsep hierarki manusia ini adalah sebab mengapa keganasan dan salah layan terhadap wanita, kanak-kanak, minoriti seksual dan kumpulan orang Islam tertentu terus berleluasa di negara ini.
“Hari ini di negara kita sendiri, konsep hierarki manusia masih dijunjung. Ada manusia lebih mulia aripada yang lain tanpa sebab lain kecuali kerana kaum, agama atau gender mereka.
“Malah ada orang yang anggap kepelbagaian seksualiti tidak relevan. Untuk mengelaskan kumpulan manusia tertentu, sekecil manapun mereka, sebagai tidak relevan adalah contoh pemikiran yang dahulunya pernah anggap orang tertentu sebagai tikus dan lipas sahaja,” katanya pada ucaptama di majlis sambutan 20 tahun Suhakam dan Hari Hak Asasi Manusia.
Marina berkata Malaysia masih berpegang kepada konsep hak asasi manusia yang lapuk sedangkan bekas penjajah British kini meraikan kepelbagaian dan memberikan hak kepada golongan minoriti.
“Jujurnya jika kita ambil peduli, kita akan akui yang kita masih tidak lepas daripada pemikiran penjajah yang mengelaskan orang tertentu lebih mulia berbanding yang lain, maskulin lebih tinggi berbanding feminin.
“Kita berpegang kepada norma era pra Victoria dan Victoria, percaya perkara ini bukan sepenuhnya berasal dari kita, dan ia ada asal usul ketuhanan.”
Tambahnya, dalam masyarakat Malaysia, ideologi hak saksama untuk semua warga masih sukar diterima.
“Di Malaysia, kita hidup dalam era hanya segelintir warga diberikan hak sepenuhnya dan yang lain terpaksa menjaga diri sendiri.
“Walaupun kepelbagaian wujud dalam dunia Islam, kita hanya menerima (idea) komuniti tertentu sahaja sebagai benar dan beriman. Selainnya, kita ganggu dan nafikan hak mereka untuk percaya walaupun tidak membahayakan kita,” kata Marina. – 10 Disember, 2019.
Komen