Dera tahanan masih berlaku, kata aktivis


Diyana Ibrahim

Janji Pakatan Harapan untuk menghapuskan undang-undang menindas seperti Sosma kini dipertikai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Disember, 2019.

KES penderaan tahanan oleh pihak berkuasa masih lagi berlaku, kata aktivis hak asasi manusia, merujuk kepada pendedahan susulan penahanan 12 individu yang didakwa cuba menghidupkan semula pertubuhan haram Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) baru-baru ini.

Penderaaan oleh polis, yang dilaporkan kepada Mahkamah Sesyen Selayang, menyebabkan seorang tahanan membuat pengakuan atas jenayah yang didakwa tidak dilakukannya.

Aktivis hak asasi manusia kini menuduh pentadbiran Pakatan Harapan mungkir janji untuk menangani isu penderaan dalam tahanan serta menghapuskan undang-undang kontroversi seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Akta Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy memberitahu The Malaysian Insight bagaimana kerajaan PH gagal menghentikan penderaan tahanan oleh polis.

Katanya, walaupun kerajaan bertukar, polis masih tidak berubah daripada amalan lamanya.

“Ini tidak hanya berlaku kepada tahanan namun terhadap ahli keluarga, budaya ini berterusan.

“Nampak gayanya kerajaan Pakatan Harapan terutama Kementerian Dalam Negara gagal untuk menghapuskan isu ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau merujuk pada dakwaan A. Kalaimughilan, 28, yang dipaksa membuat pengakuan atas jenayah yang tidak dilakukannya, semasa ditahan di bawah Sosma untuk siasatan kes membabitkan LTTE.

Dia didakwa pada 29 Oktober lalu di Mahkamah Sesyen Selayang kerana memiliki beberapa bahan berkaitan dengan LTTE, seperti cakera padat dan pelekat, di sebuah rumah di Bukit Sentosa, Rawang.

Peniaga besi buruk itu memberitahu mahkamah bahawa polis juga mengugut mahu menahan isteri dan bapanya yang buta.

Sevan berkata Suaram sebenarnya tidak terkejut dengan dakwaan suspek kerana mereka sudah lama membangkitkan hal itu kepada pihak berkuasa.

Katanya, amalan penderaan ke atas tahanan berlaku sejak Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) masih ada, yang kemudian digantikan dengan undang-undang lain seperti Sosma,  Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota).

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) juga sudah membangkitkan isu yang sama namun kerajaan dan polis tidak serius memekakkan telinga, tambahnya.

“Ini salah satu sebab mengapa kita memerlukan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC),” katanya.

Sementara itu, jurucakap Kumpulan Tindakan Rakyat Terhadap Penculikan (Caged) Rama Ramananthan mendakwa polis dan Pejabat Peguam Negara silap besar apabila mendakwa suspek LTTE.

Katanya, jika suspek dibebaskan tanpa perbicaraan sekalipun reputasi buruk mereka semakin parah.

“Banyak tekanan untuk suspek dibicarakan di mahkamah. Jadi polis terpaksa mencari jalan untuk membuktikan bahawa suspek itu melakukan kesalahan. Mereka perlukan pengakuan.

“Tahanan Sosma berkata mereka dipaksa untuk mengaku, kerana itu Sosma perlu dimansuhkan untuk menyelamatkan polis dan Peguam Negara daripada membuat keputusan yang salah,” katanya. – 10 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen