MOHAMMED Yusoff Rawther yang mendakwa Anwar Ibrahim melakukan salah laku seks terhadapnya menghabiskan masa selama lapan jam di Bukit Aman untuk memberi kenyataan hari ini.
Bercakap kepada pemberita selepas keluar dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, peguam yang mewakili Yusoff, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata pihak polis sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 354 kanun keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah dengan niat hendak mencabul kehormatan.
“Buat masa ini mereka sedang menyiasat di bawah seksyen 354. Tetapi ia mungkin termasuk pertuduhan lain sekiranya perlu,” katanya kepada wartawan malam ini selepas soal siasat yang panjang.
Haniff berkata anak guanmnya ditanya secara terperinci mengenai apa yang berlaku pada hari kejadian yang dikatakan itu.
“Ia lama kerana polis ingin tahu setiap butir kejadian. Anak guam saya yang dipanggil sebagai mangsa perlu memberitahu polis mengenainya.”
“Dari hari ia berlaku sehingga laporan polis dibuatnya dua hari lalu,” jelas Haniff.
Haniff dan Yusoff masuk ke Bukit Aman kira-kira jam 12.30 tengah tadi dan meninggalkan ibu pejabat polis selepas 9 malam.
Yusoff, baru-baru ini mendakwa Presiden PKR, Anwar melakukan salah laku seks, membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada Sabtu lalu di balai polis Sentul.
Beliau mendakwa dalam akuan bersumpah yang Anwar cuba memaksanya melakukan perbuatan seks di rumahnya di Bukit Segambut pada 2 Oktober tahun lepas.
Akaun bersumpah itu dikongsi secara meluas di media sosial dan kumpulan berbual pada 4 Disember, pada masa yang sama Yusoff mengadakan sidang akhbar mengenai perkara itu.
“Tujuan saya membuat laporan ini adalah meminta polis menyiasat dan mengambil tindakan ke atas kejadian di kediaman Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Segambut, Kuala Lumpur, seperti yang diperincikan dalam akaun bersumpah.
“Saya juga membuat laporan ini untuk keselamatan saya kerana mula menerima ancaman daripada pihak tertentu selepas sidang akhbar mengenai perkara itu.” – 9 Disember, 2019.
Komen