TIGA daripada 10 rakyat Malaysia berasakan mereka tidak cukup duit untuk beli makanan, menurut laporan Bank Dunia yang dikeluarkan semalam.
Memetik banci dunia dibuat badan pemikir Gallup, ia berkata jumlah rakyat Malaysia berasakan demikian tahun lalu berganda dari 2012.
“Ia lebih banyak berlaku dalam kalangan mereka di kawasan bandar, di mana keputusan kaji selidik mendapati ia naik tiga kali ganda daripada 8.6% kepada 28.7%. Di kawasan luar bandar, mereka yang berasakan tidak cukup wang untuk makanan naik daripada 18.6% kepada 30%.”
Walaupun inflasi berkurangan, isi rumah berpendapatan rendah paling teruk terasa apabila tidak mampu membeli makanan.
Pakar ekonomi kanan Kumpulan Bank Dunia (kemiskinan dan ekuiti) Kenneth Simler berkata isi rumah yang miskin mengalami inflasi yang “lebih tinggi daripada purata” kerana harga makanan naik lebih cepat berbanding barangan lain, dan keluarga ini membelanjakan sebahagian besar bajet isi rumah untuk makanan.
Menurut laporan itu, di mana penyelidik menjalankan hampir 60 pertemuan kumpulan fokus di seluruh negara, 23% daripada responden berkata mereka kurang wang untuk tempat berlindung.
Jumlah penduduk bandar yang tidak cukup duit untuk perumahan meningkat lebih tiga kali ganda daripada 7.4% pada 2012 kepada 24.8%
“Walaupun kos perumahan yang tinggi dilihat sebagai masalah di bandar, didapati 17% hingga 18% penduduk luar bandar melaporkan tidak cukup wang untuk tempat perlindungan pada 2012 dan tahun lalu,” menurut laporan itu.
Ia berkata perumahan menjadi semakin mahal sekarang, dengan di beberapa negeri rumah menjadi sesuatu yang “amat tidak mampu” untuk penduduk.
Ini sangat membimbangkan terutama bagi isi rumah berpendapatan kurang RM5,000 sebulan, kerana jumlah keluarga dalam kumpulan pendapatan ini sukar mendapatkan rumah mampu milik.
Sejumlah 55% responden di Kuala Lumpur dan 63% di daerah Petaling berkata mereka kurang mendapat akses kepada perumahan murah.
“Isi rumah dalam lingkungan RM6,000 hingga RM10,000 biasanya mampu membeli rumah bagi anggaran harga RM230,000 dan RM500,000 tetapi ketersediaan rumah sedemikian tidak sekata.
“Pasaran untuk rumah mampu milik lebih sempit di Petaling berbanding Kuala Lumpur memandangkan bekalan rumah seumpama itu tidak banyak menyebabkan kenaikan harga.”
Simler berkata pada 2016 hanya 18% rumah baharu dilancarkan yang berharga bawah RM200,000. – 10 Disember, 2019.
Komen