PEMIMPIN pembangkang yang sedang dipenjarakan Anwar Ibrahim dahulunya juga mengawal media ketika menjadi timbalan perdana menteri, dakwa bekas Menteri Penerangan Zainuddin Maidin.
“Anwar banyak buat sekatan kepada surat khabar. Apa boleh tulis dan tak boleh tulis, telefon pula lagi ke pejabat,” kata bekas ketua pengarang Utusan Melayu itu.
Beliau yakin Anwar yang merupakan antara pimpinan tertinggi Pakatan akan sekali lagi mengawal media seperti zaman kegemilangannya dalam Umno.
Katanya lagi, pemulauan media arus perdana di Pulau Pinang seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan TV3 menjadi bukti Pakatan Harapan (PH) tidak akan melunaskan janjinya mengenai kebebasan media.
“Media tidak akan bebas,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam satu temubual baru-baru ini.
“Saya tidak yakin akan diberikan kebebasan media, contohnya macam DAP dan PAS di Pulau Pinang, pulaukan Utusan Melayu dulu,” katanya.
Beliau merujuk kepada situasi sukar dihadapi pengamal media arus perdana di Pulau Pinang yang berdepan pemulauan dan sering dimalukan saat bertanya soalan.
“Kami tak akan dapat apa jemputan. Apabila kami nak bertanya dalam sidang media dia (pimpinan DAP) akan tanya kami dari mana. Mereka kata takkan jawab soalan media BN (Barisan Nasional). BN penipu,
“Sebelum sidang media lagi air muka kami (media Pro Umno) dimalukan depan wartawan lain,” kata wartawan Berita Harian yang enggan dinamakan bertugas di negeri pimpinan DAP itu.
Baru-baru ini juga kecoh mengenai larangan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin mengarahkan wartawan Malaysiakini beredar dari majlisnya.
Khairy menegaskan larangan tersebut merupakan haknya sebagai penganjur majlis dan perkara sama turut dibuat pembangkang.
Zainuddin bagaimanapun menambah sikap sedemikian tidak menguntungkan mana-mana pihak kerana segala maklumat boleh dicapai di hujung jari.

“Sekarang sikap negatif terhadap akhbar, sikap tidak mesra tidak menguntungkan. Sebab dulu benda buruk-buruk boleh sembunyi, kalau sekarang macam mana nak sembunyi dah?
“Macam macam boleh buat. Media sosial meluas,” kata penulis buku “Pergi Mampuslah Umno” itu.
Jangan takut berdepan media
Bekas ahli Parlimen Merbok itu berkata sebagai ahli politik sepatutnya lebih berani berdepan dengan media dan bukannya menghalau wartawan.
Zainuddin yang dikenali sebagai Zam juga mahu sikap berani Dr Mahathir berhadapan media dicontohi.
“Dr Mahathir, dia menghadapi wartawan. Dia sanggup dan dia tiada nak agresif hendak halau-halau. Mana dia pernah kata dia tak mahu, dia akan jumpa juga.
“Malah dengan media luar pun Dr Mahathir berani datang dan jawab,” katanya yang merujuk kepada satu temubual bersama media antarabangsa, BBC News dalam “Hard Talk with Stephen Sackur” pada 2008.
Disebabkan sikap berani pengerusi Bersatu itu, Zainuddin berkata ia adalah salah satu faktor Dr Mahathir masih menjadi perhatian media.
“Kalau orang Amerika hentam dia pun, dia pergi ke Amerika untuk menjawab. Orang menunggu sidang akhbar Mahathir.
“Sebab mereka (media) tahu mereka akan mendapat sesuatu berita baik, yang ada nilai berita. Sampai sekarang sidang akhbar yang ditunggu-tunggu adalah sidang akhbar Dr Mahathir,” katanya lagi.
Dalam pada itu, bekas menteri Umno itu turut memuji Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman pada zaman pemerintahannya.
“Masa sidang kabinet Tunku (Abdul Rahman), setiap hari Rabu ada sidang akhbar. Tetapi bila Tun Razak (perdana menteri kedua) ambil alih terus tiada.
“Wartawan dulu seronok tunggu untuk cari berita. Tapi bila mai Tun Razak, semuanya dihentikan dan wartawan tak boleh tanya apa-apa dah,” katanya lagi. – 29 Oktober, 2017.
Komen