Hanya orang bersalah akan cakap sedia dipecat, kata setiausaha agung PKR


Ragananthini Vethasalam

Hanya orang yang ada rasa rasa bersalah akan sebut tentang dipecat, yang tahu mereka sudah melanggar disiplin parti kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 Disember, 2019.

HANYA orang yang bersalah akan bercakap tentang isu dipecat dari parti, kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata PKR tidak bercadang memecat sesiapa dan perkara tersebut hanya akan keluar dari mulut dari orang yang rasa bersalah.

“Hanya orang yang bersalah akan sebut tentang dipecat. Orang yang tahu mereka sudah melanggar disiplin parti. Kata-kata bahawa mereka bersedia dipecat akan keluar dari mulut dari orang sebegini,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

“Pada saya, ini pengakuan bersalah.”

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin ketika berucap pada Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Kuala Lumpur malam tadi.

Zuraida berkata beliau dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali bersedia dipecat dari parti.

“Kalau kami dipecat, saya dan Azmin dah bersedia. Kami rela dikorbankan demi parti Keadilan ini,” kata Zuraida.

Saifuddin berkata isu berkaitan parti hendaklah dibincangkan dalam mesyuarat.

Beliau juga berkata tidak mahu membuat serangan peribadi walaupun Zuraida mengkritiknya.

“Saya tak mahu terlibat dalam serangan peribadi. Saya tegaskan Zuraida adalah naib presiden yang dipilih oleh ahli PKR.

“Untuk memastikan parti kembali ke landasan yang betul, hadir mesyuarat.”

Selain itu, perwakilan kongres PKR berpendapat mereka yang melanggar peraturan parti termasuk tidak hadir mesyuarat parti perlu dikenakan tindaka, kata Saifuddin.

Bagaimanapun, Presiden PKR Anwar Ibrahim memilih rundingan untuk menyelsaikan masalah, jelasnya.

Apabila ditanya mengenai dakwaan Zuraida bahawa Anwar pernah meyakinkannya bahawa Azmin adalah lelaki dalam video seks melibatkan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz, Saifuddin enggan mengulas.

“Perkara itu kita serahkan kepada polis,” katanya. – 9 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen