ANWAR Ibrahim tersenyum lebar sepanjang sidang media selepas berakhirnya Kongres Nasional PKR ke-14 di Ayer Keroh, Melaka semalam.
Walaupun Timbalannya Mohamed Azmin Ali dan beberapa pimpinan kanan PKR tidak hadir, antaranya Naib Presiden Zuraida Kamaruddin dan Ali Biju serta Ketua Wanita Haniza Talha, Anwar tahu beliau lebih berkuasa berbanding penentangnya.
Perwakilan parti yang hadir di kongres sebelum itu sebulat suara memberi sokongan kepada Anwar untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka, yang merancang mengadakan perhimpunan berasingan di Hotel Renaissance di Kuala Lumpur, malam tadi.
Beberapa hari sebelumnya penuh dengan tanda tanya apa yang akan dilakukan oleh Azmin di kongres pertama parti untuk Anwar sebagai presiden ketika perselisihan antara mereka jadi retak menunggu belah.
Namun bukan mudah untuk mengambil tindakan terhadap Azmin dan kumpulan 23 pemimpin yang bersama, kata penganalisis politik.
“Anwar tidak akan pecat mereka sekarang. Mungkin beliau akan gantung mereka kerana enggan patuh arahan parti.
“Tetapi tiga tahun penggantungan misalnya akan menjejaskan karier mereka,” kata Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya.
Awang Azman, yang hadir di kongres nasional PKR di Melaka sebagai pemerhati, berkata Anwar tidak akan memberi jalan mudah kepada Azmin.

“Tindakan pecat akan hanya menguntung Azmin kerana itulah yang beliau mahu untuk menubuhkan parti baru atau menyertai parti lain.
“Tetapi kalau Azmin berkeras mahu melawan Anwar, akar umbi akan memberi tekanan kepada presiden untuk bertindak dan ini boleh menggugat penyokong Azmin sendiri.”
Satu lagi pertimbangan Anwar ialah kesannya kepada PKR, kalau beliau memecat Azmin dan kelompoknya, kata Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
“Satu-satunya alasan mereka tidak dipecat sekarang ialah PKR akan hilang jumlah ahli Parlimen dan wakil rakyat,” kata pensyarah sains politik itu.
Walaupun perwakilan mereka ruang kepada Anwar untuk bertindak terhadap timbalannya, sebagai presiden parti beliau perlu menimbangkan pilihan yang ada masak-masak, kata Dr Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia.
“Saya yakin Anwar ada alasan yang kukuh untuk memecat Azmin tetapi beliau juga harus menimbangkan masalah yang akan timbul sekiranya ia menyebabkan ahli parti yang utama bertindak keluar parti beramai-ramai.
“Apalagi Azmin tokoh parti yang berpengaruh dan ada banyak penyokong.
“Selangor misalnya adalah kubu kuatnya. Anwar tentu tidak mahu PKR kehilangan negeri itu kalau Azmin keluar,” kata pensyarah kanan di Sekolah Sains Sosial itu.
Selangor kini diterajui pendukung Azmin, Amirudin Shari sementara Melaka, misalnya, dikuasai oleh Pakatan Harapan (PH) dengan kelebihan tipis.
Dalam pertembungan kekuatan baru-baru ini, usaha PH melantik senator dari Melaka gagal di dewan undang negeri selepas dua pengikut Azmin iaitu Ginie Lim (Machap Jaya) dan Muhammad Jailani Khamis (Rembia) tidak mengundi.
Pilihan Azmin
Ketika pertelingkahan ini tidak nampak penghujungnya, Azmin juga terikat dengan Anwar, kata penganalisis.
“Kalau Azmin mahu jadi perdana menteri, yang beliau tidak pernah nafikan, pilihan yang ada ialah dengan menyertai Bersatu.
“Tetapi ke mana penyokongnya yang bukan Melayu seperti Tian Chua, Hee Loy Sian atau Elizabeth Wong akan pergi?” tanya Azmil.
Sekiranya Azmin sukar untuk menyertai parti lain, lebih sukar lagi untuknya menubuhkan sebuah parti baru, kata Awang Azman.

“Beliau perlukan dana yang besar untuk mulakan parti baru. Selain itu, bagaimana partinya boleh masuk PH?” tanya Awang Azman.
“Ada ganti rugi yang perlu dibayar oleh calon sekiranya mereka meninggalkan parti.”
Namun kalau keadaan semakin parah, Tunku Mohar percaya Azmin akhirnya akan menyertai parti lain.
“Memulakan sebuah parti baru sangat rumit dan tidak menguntungkannya jika beliau masih berfikir mahu jadi perdana menteri suatu hari nanti.”
Dalam sidang media selama, Anwar memberi sedikit ruang kepada kelompok Azmin.
Ditanya apakah Azmin akan dipecat, bakal perdana menteri berkata: “Perkara ini (pecat Azmin) tidak berbangkit. Ini hanya disuarakan oleh perwakilan tetapi tidak ada pimpinan yang bagi respons bersetuju.”
Mengenai penyatuan semula, Anwar memetik bekas presiden Amerika Syarikat John F Kennedy.
“Kita tidak harus takut untuk berunding dan kita jangan berunding kerana takut.”
Ini kerana Anwar tahu, beliau lebih berkuasa. – 9 Disember, 2019.
Komen