Umno nampak hala tuju jelas, kata penganalisis


SM Amin

Hala tuju Umno jelas berbanding persidangan setahun sebelumnya, ketika parti masih bertatih selepas kalah pilihan raya umum dan hilang kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2019.

PERHIMPUNAN Agung Umno 2019 minggu lalu mungkin berlangsung agak suram dan hambar namun hala tujunya jelas berbanding persidangan setahun sebelumnya, ketika parti masih bertatih selepas kalah pilihan raya umum dan hilang kerajaan.

Perhimpunan kali ini dengan jelas menunjukkan pimpinan dan ahlinya mahu Umno membina kekuatan baharu dan memperkukuhkan kerjasama yang baru terjalin dengan PAS.

Mereka juga tegas menolak sebarang bentuk rundingan “kerajaan pintu belakang” dengan mana-mana pihak, dan mahu menang pilihan raya umum akan datang dengan kekuatannya sendiri, seperti yang dilaungkan pemimpin parti dalam perhimpunan.

“Selepas Pilihan Raya Umum ke-14, sekarang kita nampak lebih jelas hala tuju Umno berbanding tahun pertama,” kata penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian.

“Tahun pertama mungkin masih terkejut dengan kekalahan. Tahun kedua, sudah ada beberapa siri kemenangan dalam pilihan raya kecil… jadi semangat itu sudah lain,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Semangat baharu Umno itu ternampak daripada reaksi perwakilan kepada ucapan dasar presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

Pada perhimpunan setahun yang lalu, Zahid dicemuh oleh ahli parti kerana tidak menunjukkan hala tuju kepimpinan yang jelas selepas Umno kalah PRU14.

Walaupun membentangkan tujuh teras dengan 21 langkah dalam ucapannya tahun lalu, pemimpin dan ahli Umno merasakan tiada hala tuju dalam ucapan Zahid yang panjang selama lebih dua jam.

Namun pada perhimpunan tahun ini, ucapan dasar presiden lebih ringkas dan padat, dengan menegaskan tiga perkara: Muafakat Nasional sebagai tawaran baharu kepada rakyat, Umno hanya ada seorang nakhoda dan Umno perlu membina kekuatan sendiri untuk merampas Putrajaya.

Semangat baharu Umno itu ternampak daripada reaksi perwakilan kepada ucapan dasar presidennya Ahmad Zahid Hamidi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2019.

Tiga perkara itu juga dilihat jelas mendasari perbahasan oleh para  perwakilan yang membantah sebarang usaha membentuk kerajaan pintu belakang.

Malah, mereka juga yakin Muafakat Nasional adalah nadi baharu parti yang mampu membawa Umno kembali menerajui kerajaan Persekutuan.

Menurut Sivamurugan, Umno kini perlu mempunyai kerangka yang holistik dari segi kepimpinan, ekonomi,  dan sosial yang mampu untuk melengkapi apa juga yang dikemukakan oleh PAS dalam Muafakat Nasional.

“Muafakat Nasional mencari titik persamaan antara PAS, Umno, MCA dan MIC. Ada pendekatan, paradigma dan metodologi yang digunakan. 

“Umno ada 22,000 cawangan dengan 191 bahagian. Kalau diterokai sepenuhnya, saya rasa Umno akan terus kekal dalam usaha memulihkan semula sokongan,” katanya.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa dalam laporannya kepada perhimpunan agung parti menjelaskan bahawa Umno sedang merangka satu pelan tindakan konkrit kerjasama dengan PAS untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Hala tuju Umno itu juga diperjelaskan oleh Timbalan Presiden Mohamad Hasan ketika berucap merasmikan perhimpunan sayap Wanita, Pemuda, dan Puteri Umno pada Rabu lepas, yang kemudian beliau ulangi ketika menggulung ucapan dasar presiden.

Mohamad meminta supaya pergerakan sayap Umno merangka satu tawaran baharu untuk meyakinkan orang Melayu dan bukan Melayu bahawa parti itu sudah bersedia untuk diberikan kepercayaan memerintah dan mentadbir kerajaan semula.

Ketua Penyelidik Ilham Centre Mohd Yusri Ibrahim berpendapat Umno perlu menimbangkan dengan wajar untuk menamakan Mohamad sebagai calon perdana menteri Muafakat Nasional bagi menyaingi Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH).

“Saya meneliti dengan tekun personaliti kepimpinan Tok Mat (Mohamad).

“Saya boleh rumuskan, andai sosok ini memimpin Umno, mengemudi BN dan Muafakat Nasional serta dinamakan sebagai bakal PM menjelang PRU15 nanti, PH akan berhadapan dengan masalah besar,” katanya. – 9 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen