Zuraida, Azmin sedia dipecat dari PKR


Diyana Ibrahim Ragananthini Vethasalam

Zuraida berkata beliau maklum Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali juga sedia dikenakan tindakan sama, selepas mereka mengadakan perhimpunan penyokong parti di Kuala Lumpur malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 Disember, 2019.

NAIB Presiden PKR Zuraida Kamaruddin sedia dipecat dari parti kalau tindakannya mengkritik parti dan kepimpinannya dianggap satu pengkhianatan.

Katanya, beliau maklum Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali juga sedia dikenakan tindakan sama, selepas mereka mengadakan perhimpunan penyokong parti di Kuala Lumpur malam ini.

“Kalau kami dipecat, saya dan Azmin dah bersedia. Kami rela dikorbankan demi parti Keadilan ini,” katanya, menutup program di sebuah hotel tempat PKR dilancarkan dua dekad lalu.

Perhimpunan di Kuala Lumpur malam ini berlangsung selepas Azmin dan beberapa pemimpin kanan PKR memboikot kongres tahunan di Melaka setelah hadir separuh hari semalam.

Majlis yang diberi nama Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama itu dilihat oleh banyak pihak sebagai “kongres kedua” selepas kongres nasional tahunan PKR di Melaka berakhir beberapa jam sebelumnya.

Perhimpunan malam ini digambarkan sebagai perhimpunan penyokong PKR yang kekal di landasan perjuangan asal parti sepanjang dua dekad lalu.

Zuraida juga berkata perhimpunan malam ini, yang dihadiri pimpinan yang mendukung Azmin, akan jadi permulaan pentas untuk mereka menjelajah ke seluruh negara untuk menegakkan keadilan dan mengukuhkan parti.

Sebahagian penyokong Zuraida yang hadir pada majlis di Kuala Lumpur malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 Disember, 2019.

Zuraida yang muncul sebagai pemidato terakhir berkata Anwar pernah cuba meyakinkannya bahawa Azmin terlibat dalam skandal seks, yang berbangkit selepas penyebaran rakaman video pada Jun lalu.

Katanya, beliau diberitahu oleh Anwar dalam satu pertemuan tiga bulan lalu bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir meminta Azmin dipecat.

“Saya kata kalau Dr Mahathir minta Azmin dipecat beliau (perdana menteri) tidak akan keluarkan empat kenyataan, kata (Azmin) tidak perlu bercuti,” katanya.

Zuraida mendakwa, Anwar menjawab: “You tak kenal Mahathir.”

“Saya kata, Datuk Seri, saya tak kenal Tun (Dr Mahathir). Saya tak kenal you,” katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu juga mendakwa Anwar mengugut akan menggugurkan beliau dari jawatan menteri apabila Anwar menggantikan Dr Mahathir nanti.

“Saya tak peduli,” katanya, menceritakan jawabannya terhadap kenyataan Anwar itu.

Menurut Zuraida, beliau tidak pernah berniat mahu menjatuhkan Anwar tetapi kalau ada pemilihan parti, beliau akan menyokong Azmin.

Zuraida bersama penyokong PKR yang hadir pada majlis makan malam di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 Disember, 2019.

Sementara itu Naib Presiden PKR Tian Chua menafikan penganjuran program malam ini bertujuan untuk menjatuhkan presiden sebaliknya ingin mengembalikan semangat parti ke landasan benar seperti 20 tahun lalu.

“Kita ada malam ini bukan nak pecahkan parti atau nak jatuhkan presiden. Kita bukan nak lawan (presiden).

“Tapi kita nak betulkan parti ini dari budaya politik yang songsang, kita nak mula dasar PKR yang kita mulakan dulu 20 tahun lalu,” katanya.

Tegas Chua, beliau menolak budaya kipas pemimpin kerana itu bukan tujuannya menyertai PKR.

Tian Chua turut menyampaikan ucapan pada majlis makan malam yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 Disember, 2019.

“Saya jadi pejuang reformasi, masuk PKR bukan nak angkat siapa jadi perdana menteri tapi nak jatuhkan perdana menteri yang zalim.

“Itulah semangat reformasi. Kerja kita adalah jatuhkan kezaliman,” katanya.

Katanya PKR akan jadi seperti Umno jika hanya pandai berbahas dan hanya kipas pemimpin walhal mereka hanya melaungkan slogan yang kosong.

“Kalau kita ahli yang hanya berbahas dan kipas pemimpin kita sudah jadi ahli Umno 2.0,” katanya.  – 8 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen