Hapus tol bukan batu loncatan raih undi rakyat


Sheridan Mahavera Low Han Shaun

Penghapusan kutipan tol bukanlah batu loncatan untuk Barisan Nasional mahupun Pakatan Harapan meraih sokongan rakyat, kerana mereka masih dibebani dengan peningkatan kos sara hidup yang lain. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 29 Oktober, 2017.

PENGHAPUSAN kutipan tol di beberapa buah plaza tol tahun depan sukar diterjemahkan ke dalam undi pada pilihan raya umum akan datang, kerana penjimatan yang dinikmati pengguna tidak akan meredakan ketidakpuasan hati mereka berkaitan peningkatan harga barangan dan perkhidmatan yang lain, kata penganalisis.

Pada Bajet 2018, Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan bayaran Lebuhraya Persekutuan di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau serta tol di utara Bukit Kayu Hitam untuk memasuki Thailand akan dihapuskan pada Januari.

Bayaran tol di Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Johor Bahru Timur (EDL) dari Tebrau ke Kompleks Kastam dan Imigresen di Johor Baru juga akan dihapuskan.

Menteri Kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani dilaporkan berkata yang tindakan itu akan memberi manfaat kepada hampir 140,000 pemandu yang menggunakan Lebuhraya Persekutuan setiap hari.

Bayaran tol di Batu Tiga adalah RM1.10, RM1 untuk Sungai Rasa, RM6.80 untuk tol EDL dan RM3.60 untuk Bukit Kayu Hitam.

Pada 2015, kerajaan mengumumkan yang sebanyak RM378,486 dikutip setiap hari dari tol Batu Tiga dan Sungai Rasa.

Walaupun pemimpin Barisan Nasional (BN) mengatakan “gula-gula” bajet termasuklah penghapusan kutipan tol akan meningkatkan sokongan rakyat kepada mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU), pemerhati politik tidak tidak merasakan begitu.

Penganalisis Ibrahim Suffian mengatakan walaupun akan wujud perasaan senang serta merta dalam kalangan pengguna, ia masih tidak mencukupi untuk mengubah sokongan politik.

“Kerana di akhirnya, ia hanyalah perubahan kecil. Anda berikan RM2 balik kepada rakyat setiap hari. Ia akan raih sedikit sokongan tetapi adakah ia cukup untuk mengembalikan sokongan yang hilang kerana GST?” katanya.

Tan Siew Kuan yang memandu setiap hari ke Klang dan akan menerima manfaat daripada penghapusan kutipan tol itu berkata realiti kehidupan kota bermakna orang sepertinya terpaksa juga membayar tol dalam cara lain.

“Ya hapus tol Batu Tiga akan bantu ringankan beban saya, tetapi jika anda panjangkan tempoh tol yang lain pula kami tetap kena bayar juga,” kata pengendali kren yang bekerja di Pelabuhan Klang itu.

“Saya tak gembira dengan penghapusan tol itu tapi saya pun tak marah, maksud saya, ada tol atau tak ada tol, anda terperangkap atas jalan juga,”

Ibrahim mengatakan sama ada penghapusan kutipan tol akan memberikan kesan politik kepada BN mahupun Pakatan Harapan akan bergantung kepada pelbagai faktor lain.

Ini termasuklah jentera parti dan kesediaannya, proses persempadanan semula dan sentimen kaum serta agama, katanya.

“Itu sahaja (tol) tidak boleh menang pilihan raya. Ia hanyalah faktor daripada banyak faktor lain,”

Negeri medan tempur

Dasar berkaitan tol serta pengecualian cukai untuk kumpulan pertengahan bermatlamat untuk membantu pengundi bandar serta melonjakkan sokongan kepada BN pada pilihan raya yang dijangka akan diadakan tahun depan, kata Prof Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia.

“Perdana menteri sendiri kata bajet itu strategik kerana ia fokus kepada kumpulan dan kawasan berbeza,” katanya.

Tol-tol itu berada di negeri medan tempur- Selangor, Johor dan Kedah- yang BN sedang berdepan dengan asakan hebat gabungan pembangkang, Pakatan Harapan.

Di Selangor dan Johor, lebuhraya itu melintasi kawasan Parlimen dalam bandar yang akan menjadi medan tempur hangat seperti Tebrau, Pasir Gudang, Johor Baru, Shah Alam dan Kelana Jaya.

Dua daripadanya- Tebrau dan Pasir Gudang- adalah kerusi yang kini milik BN tetapi dimenangi pada pilihan raya lepas dengan majoriti marjinal bawah 2,000 undi.

Ibrahim dari Merdeka Center tidak percaya pengumuman BN akan memberi kesan besar kepada sokongan rakyat menggunakan misalan kerajaan Terengganu pimpinan PAS pada 1999.

“Ada pengajaran sejarah pada 1999 apabila kerajaan PAS Terengganu mempertimbangkan penghapusan tol sebagai senjata pilihan raya.

“Kerajaan Terengganu PAS menghapuskan tol jambatan Kuala Terengganu. Ia tindakan yang sangat popular. Tetapi pada 2014, mereka masih kalah kerana isu lain.”

Pengajaran sejarah dialami PAS Terengganu perlu dijadikan tauladan bukan sahaja untuk BN, tetapi juga PH. – 29 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen