WALAUPUN sudah lebih seminggu sejak Kelantan menguatkuasakan arahan menghentikan kegiatan perniagaan kepada semua peniaga kecil selama 15 minit sewaktu solat Maghrib, tidak semua memahami atau bersetuju dengan keputusan itu.
Sebahagian besar peniaga Islam bersetuju dengannya, namun terdapat rakan mereka yang bukan Islam tidak bersetuju atau tidak percaya larangan itu turut melibatkan mereka.
Peniaga pau yang hanya mahu dikenali sebagai Chin, berkata berasa tidak terganggu dengan peraturan tersebut sekiranya ia dijalankan.
Ini kerana katanya, di tempat dia berniaga merupakan kawasan majoriti Cina di mana kemungkinan besar ia tidak akan terlibat dengan peraturan itu.
“15 minit tidak makan masa yang panjang. Cuma kalau ia dikenakan seperti di pusat beli-belah di sini mungkin terasa (lama) dan bosan perlu menunggu sehingga dua jam.
“Tapi kalau saya (peniaga) kecil, tidak rasa apa pun,” kata Chin yang mula berniaga pau sejak enam bulan lalu.
Majlis Perbandaran Kota Bharu sebelum ini mengarahkan semua premis perniagaan termasuk yang dikendalikan bukan Islam menutup kedai mereka dari 12.30 tengah hari sehingga 2 petang bagi solat Jumaat setiap minggu.
Bagi peniaga veteran, Ah Seng, 70, dia bersetuju dengan larangan itu dan berasa tempoh 15 minit untuk solat Maghrib itu sangat pendek tetapi tidak pasti sama ada ia turut melibatkannya.
“Saya dengar orang bercakap mengenainya tetapi ia tidak tetap lagi. Dan saya fikir ia tidak wajib untuk peniaga bukan Islam, kerana Allah juga tidak memaksa anda,” kata Ah Seng, yang menjalankan perniagaan keluarga menjual kek lobak sejak puluhan tahun di sana.
Sementara itu, peniaga kecil-kecilan Lee, 60, mengakui sedikit terganggu jika peraturan tersebut diwajibkan kepada peniaga bukan Islam di situ.
Bagaimanapun, Lee yang menjual roti di pasar malam di sana sejak tiga tahun lalu, berkata tidak mempunyai kuasa untuk membantah.
“Itu semua mereka (kerajaan negeri) yang tentukan. Kita tidak boleh berbuat apa-apa, kuasa kita cuma ada pada undi,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Abdul Fattah minggu lalu berkata, mereka bersedia mempertimbangkan permintaan peniaga pasar malam bukan Islam untuk dikecualikan daripada keputusan itu, berikutan aduan daripada orang ramai.
Bagaimanapun, katanya pertimbangan sewajarnya hanya akan diberikan di kawasan bukan majoriti Islam.
Bukan perkara baru
Sementara itu, tinjauan The Malaysian Insight di sekitar bandar Kota Bharu terhadap peniaga Islam pula mendapati ia bukan perkara asing dan baharu bagi mereka.
Rata-rata mengatakan walaupun peraturan tersebut tidak dikuatkuasakan, kebanyakan peniaga Islam di situ akan secara automatik menutup kedai bagi menunaikan solat Maghrib.
Namun, terdapat pelbagai reaksi sama ada peraturan itu wajar dikenakan ke atas peniaga bukan Islam.
Menurut peniaga makanan trak, Nurul Wahida Ariffin, 32, yang baru memulakan perniagaannya tiga bulan lalu, peniaga Islam memang sepatutnya berhenti sebentar untuk menunaikan solat.
Bagaimanapun, ia boleh dikenakan kepada peniaga bukan Islam kerana ada di antara mereka mempunyai pekerja beragama Islam.
“Kami (peniaga Islam) di sini memang beberapa minit sebelum Maghrib tutup sebentar dan buka semula selepas waktu Maghrib,” katanya.
Bagaimanapun, pendapat berbeza pula bagi seorang lagi peniaga makanan, Ahmad Zulkarnain Abdullah, 25, yang berniaga selama setahun di situ.
Dia bersetuju jika peraturan penutupan sementara itu diwajibkan kepada peniaga Islam tetapi ia harus dikaji semula jika melibatkan peniaga bukan Islam.
“Bagi saya ia tidak menjejaskan langsung perniagaan kerana ia menunjukkan rasa hormat kita pada azan Maghrib tetapi untuk peniaga bukan Islam sebaik-baiknya cadangan tersebut dibawa berbincang terlebih dahulu,” katanya.
Tambahnya, ia bukan sesuatu yang baru bagi peniaga Kelantan, kerana kebanyakan peniaga Islam akan menutup kedai bagi menunaikan solat Maghrib.
Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Malaysia, Yow Boon Choon berpendapat ia tidak menjadi masalah jika diwajibkan kepada peniaga Islam tetapi bukan kepada peniaga bukan Islam kerana sedikit sebanyak akan “mengganggu” perniagaan mereka.
“Kalau untuk peniaga Islam hendak pergi sembahyang (Maghrib), kita setuju kerana mereka Islam tetapi kalau dengan bukan Islam ia akan mengganggu perniagaan.
“Jadi saya rasa ia perlu difikirkan semula. Jangan libatkan semua (kaum),” katanya.
Fattah berkata, peraturan itu dilaksanakan di Kota Bharu pada 1995 dan diperluaskan kepada majlis perbandaran lain pada 2005 kerana kebanyakan pasar malam terletak jauh dari tempat solat.
Beliau berkata, wisel pertama akan dibunyikan 15 minit sebelum masuk waktu solat Maghrib sebagai pemberitahuan kepada peniaga menghentikan operasi, manakala wisel kedua akan dibunyikan sebanyak dua kali, 10 minit kemudian.
Katanya, pemantauan tersebut sudah bermula di pasar malam utama setiap PBT sebelum diperluaskan ke premis lain.
Beliau berkata, peniaga yang ingkar arahan akan diberikan amaran terlebih dahulu sebelum dikenakan larangan sementara jika terus berdegil. – 28 April, 2017.
Komen