MOHAMAD Sabu menggesa ahli Amanah agar tidak mengabaikan ahli PAS walaupun kedua-dua parti mempunyai hubungan keruh.
Ini kerana, presiden Amanah itu berkata tidak semua ahli PAS bersetuju dengan kerjasama dengan Umno, sekali gus berpeluang untuk menarik sokongan mereka kepada Pakatan Harapan (PH).
Situasi ini dapat dilihat dengan peningkatan jumlah ahli baharu Amanah di Kelantan – sebuah negeri yang diperintah PAS sejak 1990.
Kata Mohamad Pasir Mas menunjukkan peningkatan paling tinggi ahli PAS yang menyertai Amanah.
Ahli Parlimen Pasir Mas ketika ini disandang oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari.
Mohamad yang merupakan bekas timbalan presiden PAS, berkata mereka yang masih dalam PAS masih menghormatinya dan pemimpin Amanah lain yang dahulunya sebahagian daripada parti Islam itu.
“Jangan abaikan mereka,” kata Mohamad pada ucapan penutup di konvensyen nasional parti itu di Shah Alam hari ini.

“Saya baru-baru ini bertemu dengan seorang veteran PAS dan dari raut wajahnya, dia masih sayangkan saya seperti saya bersama PAS sebelum ini.
“Saya amat yakin bahawa presiden (Abdul Hadi Awang) sendiri masih sayangkan saya,” katanya.
“Kita sayangkan dia juga tetapi apa boleh kita buat jika dia tidak mahu sayang kita semula.”
Menteri Pertahanan itu juga mengingatkan ahli Amanah agar tidak berputus asa untuk melebarkan pengaruh di Kelantan dan Terengganu walaupun kedua-dua negeri itu merupakan kubu kuat PAS.
“Ini merupakan cabaran untuk kita menembusi kubu kuat PAS dan Umno, lebih-lebih lagi mereka sudah bekerjasama. Kita perlu bekerja keras.
“Kita perlu menjelaskan kepada rakyat di Kelantan dan Terengganu tentang konsep Rahmatan lil Alamin.
“Tidak semua menerima kerjasama itu (Umno-PAS). Kita perlu menggunakan peluang ini untuk menjelaskan kepada mereka tentang konsep politik kita,” katanya.
Mohamad berkata selain Kelantan, ada juga ahli PAS dari Terengganu dan Kedah yang meninggalkan parti itu untuk menyertai Amanah.
“Bukan mudah untuk ahli PAS (menerima kerjasama Umno-PAS) kerana mereka sudah dididik untuk membenci Umno sejak awal, dan mereka pernah menggelar ahli Umno sebagai kafir.
“Jadi bukan mudah buat mereka menerima Muafakat Nasional,” kata Mohamad merujuk kepada piagam kerjasama Umno dan PAS. – 8 Disember, 2019.
Komen