LAGU kebangsaan ‘Negaraku’ hanya boleh dinyanyikan dalam Bahasa Kebangsaan dan bukan dalam mana-mana bahasa lain, tegas Dr Mahathir Mohamad.
Kata perdana menteri, lirik Negaraku dalam bahasa-bahasa lain yang terdapat dalam buku teks di sekolah hanya untuk pembelajaran tetapi bukan untuk dinyanyikan.
“Kita tak boleh nyanyi (Negaraku) dalam bahasa lain. Makna (lirik) Negaraku itu dimasukkan dalam buku (teks) nak bagi orang bukan Melayu boleh faham perkataan, bukan untuk dinyanyikan.
“Mereka tak boleh nyanyi dalam bahasa lain, (nyanyi dalam) Bahasa Kebangsaan,” kata beliau kepada pemberita selepas hadir satu program di Langkawi, hari ini.
Dr Mahathir mengulas kekecohan yang timbul selepas tular rakaman video sekumpulan pelajar menyanyikan lagu kebangsaan dalam Bahasa Mandarin dipercayai berlaku di sebuah sekolah di Seremban, Negeri Sembilan.
Susulan itu, tersebar pula lagu kebangsaan dinyanyikan dalam Bahasa Arab namun lokasi sebenar tidak dapat dipastikan.
Lirik lagu kebangsaan Negaraku yang diterjemah ke bahasa lain terkandung dalam buku teks mata pelajaran Sejarah untuk Tahun Lima di sekolah rendah jenis kebangsaan sejak beberapa tahun lalu, sekurang-kurangnya sejak 2014, lapor New Sunday Times.
Buku teks untuk sekolah jenis kebangsaan yang diluluskan Kementerian Pendidikan itu menunjukkan lirik lagu Negaraku diterjemah ke dalam Bahasa Mandarin dan Tamil.
Kedua-dua buku teks adalah terbitan Dewan Pustaka dan Bahasa dan digunakan sejak 2014 lagi.
Negaraku versi Mandarin, Wo De Guo Jia didapati pada muka surat 128 manakala versi Tamil juga pada muka surat sama dalam buku teks Sejarah bagi Tahun Lima.
Jumaat lalu, Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan mengumumkan akan menyiasat insiden menyanyi Negaraku dalam bahasa Mandarin.
Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Amin Senin dipetik berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar Perlembagaan Persekutuan sama ada secara sengaja atau tidak.
Sementara itu, polis sedang mengenal pasti rakaman dan lokasi tiga klip video tular yang memaparkan lagu Negaraku dinyanyikan dalam bahasa Arab.
Menurut polis, kes disiasat mengikut Akta Lagu Kebangsaan 1968. Peruntukan undang-undang itu menyebut larangan tidak mengubah lagu Negaraku. – 8 Disember, 2019.
Komen