Saya tiada pertalian dengan Chin Peng, kata Guan Eng 


Noel Achariam

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng ketika bercakap kepada pemberita selepas merasmikan konvensyen DAP Wilayah Persekutua di ibu negara hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 Disember, 2019.

LIM Guan Eng hari ini menolak dakwaan beliau mempunyai pertalian saudara dengan Chin Peng atau sebarang kaitan dengan Parti Komunis Malaya.

Setiausaha agung DAP itu berkata, pembangkang sentiasa cuba untuk memainkan isu perkauman dan komunis untuk meraih sokongan.

“Akhirnya (pembangkang akan kata, semua ini salah DAP. Ini semua tiada kaitan dengan kami,” katanya selepas perasmian Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini.

Lim mengulas laporan Free Malaysia Today yang mana perwakilan Umno Terengganu Wan Hisham Wan Salleh mendakwa pengaruuh komunis telah meresap dalam kerajaan.

Wan Hisham didakwa membuat kenyataan itu pada Perhimpunn Agung Umno dan mendakwa kebanyakan insiden yang beraku sejak kebelakangan ini seperti isu abu mayat Chin Peng telah dirancang.

Wan Hisham mendakwa terdapat “segelintir pihak” yang semakin berani membuat kenyataan kerana sedar mereka dilindungi, dan menambah mereka sedang bersiap sedia untuk “mengambil alih kuasa”.

Lim turut menafikan poster yang tular di media sosial menunjukkan asal usul beliau dan Timbalan Setiausaha Agung DAP Teresa Kok mempunyai pertalian saudara dengan Chin Peng.

Menurutnya, mereka memang tiada pertalian dengan Chin Peng dan ia hanya agenda pembangkang untuk menyemai prasangka buruk terhadap mereka.

“Nama keluarga kami pun tidak betul. Saya tidak mahu buang masa dengan perkara ini.”

Abu mayat Chin Peng yang merupakan bekas setiausaha agung PKM dan meninggal dunia di Thailand pada 2013 dibawa ke Malaysia pada Setember lalu oelh sekumpulan rakannya dan ditaburkan di negeri kelahirannya, Perak.

Ahli politik Umno dan PAS menyalahkan kerajaan PH berhubung tindakan bawa pulang abu mayat berkenaan, namun Putrajaya menafikan memberi kebenaran berhubung perkara itu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini turut membidas pembangkang kerana mempolitikkan isu abu mayat itu dan mengatakan ianya tidak perlu diperbesarkan kerana Chin Peng sudah meninggal dunia. – 8 Disember, 2019.


  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen