LIM Guan Eng membidas ahli Umno Pulau Pinang kerana mendakwa DAP menjual kad pengenalan dan membawa pengundi hantu.
Setiausaha agung DAP itu turut mencabar Ketua Bahagian Umno Bukit Gelugor untuk menunjukkan bukti dakwaan berkenaan.
“Beliau berbohong DAP bawa masuk pengundi hantu dari India dan China. Hasutan ini untuk cetuskan kebencian. Tuduhannya adalah palsu,” kata Lim pada konvensyen DAP Wilayah Persekutuan di Jalan Pudu, Kuala Lumpur hari ini.
Semalam, Malay Mail Online melaporkan Omar membuat tuduha terhadap DAP pada Perhimpunan Agung Umno semalam.
Omar mendakwa jumlah warga India China yang tidak menunjukkan rekod meninggalkan negara ini sangat tinggi dan terdapat cubaan untuk menjadikan warga China ini sebagai pengundi hantu.
Lim berkata, beliau telah menggesa semua ahli DAP di seluruh negara untuk membuat laporan polis agar tindakan dapat diambil terhadap tuduhan palsu itu.
“DAP tidak akan buat perkara yang menyalahi undang-undang. Tindakan perlu diambil terhadap mereka yang buat tuduhan palsu.
Lim berkata Omar perlu tunjukkan bukti tuduhan berhubung pengundi hantu.
“Bila kita buat perkara itu? Beliau kata terdapat 3,000 warga China dan 1,000 warga India (pengundi hantu).
“Ini tidak betul. Jadi, tunjukkan kami bukti.” – 8 Disember, 2019.
Komen