Survival dan kebangkitan anak miskin


Zainal Rashid Ahmad

BRAZIL negara ikon bola sepak. Lima kali juara dunia. Di negara miskin itu, bola sepak bukan semata-mata sukan. Ia juga perjuangan bagi bagi remaja miskin mencapai kerjaya berkelas dunia.

Bola sepak bukan saja menjadikan pasukan berjersi kuning biru ini dihormati, tetapi aspirasi pada ratusan ribu kanak-kanak mencari masa depan.

Legenda bola sepak Brazil berkelas dunia seperti Pele, Ronaldo, Ronaldinho dan Roberto Carlos antara bintang yang lahir dalam keluarga miskin.

Bola sepak Brazil juga simbol perjuangan sepuluh negara Zon Amerika Latin menakluk dunia dengan aset bintang-bintang berbakat.

Antaranya, Alexis Sanchez (Chile), Carlos Bacca (Columbia), Angel de Maria (Argentina) dan Luis Suarez (Uruguay) yang kini bergelar permata bola sepak dunia.

Tiap individu ini bernilai ratusan juta ringgit dalam pasaran perpindahan dunia. Malah, menerima gaji jutaan ringgit seminggu beraksi di kelab-kelab gergasi Eropah.

Di Eropah pula, Christiano Ronaldo (Portugal) dan Frank Ribery (Jerman) juga dilahirkan dalam keluarga miskin.

Ronaldo melalui detik sukar ketika remaja dalam perjalanan mendaki tangga kerjayanya. Ketika berusia 14 tahun, bintang Juventus dan penerima lima kali Anugerah Ballon D’or ini, hidup dalam kelaparan.

Di Youtube, video Ronaldo mencari pelayan McDonald yang selalu memberikan burger percuma ketika dia kelaparan sewaktu remaja, menyentuh perasaan kita.

Siapa percaya, selebriti sukan nombor satu itu, pernah mengetuk pintu belakang restoran McDonald. Setiap malam, Ronaldo mencari set burger saki-baki jualan untuk menghilangkan kelaparan.

Parut 100 jahitan lambang kemiskinan

Ribery yang dianggap antara legenda Bayern Munich juga punya sejarah mengujakan. Keluarganya miskin dan ketika berusia dua tahun, Ribery terlibat dalam kemalangan ngeri.

Lebih 15 tahun di pentas dunia, Ribery kekal memaparkan parut 100 jahitan di mukanya. Malah, bersumpah tidak akan menjalani pembedahan plastik walaupun berpendapatan puluhan juta ringgit setahun.

“Parut ini identiti diri saya mengenai penderitaan dan kemiskinan masa kecil,” katanya.

Sado Mane (Senegal) yang kini mengetuai jentera gol Liverpool juga lahir dan membesar dalam keluarga miskin. Malah, ketika berusia 14 tahun, Mane masih menendang bola di atas padang tanah merah tanpa sepatu.

Penerima kasut emas Liga Inggeris 2018/2019 ini juga tidak bersekolah.

“Ibu bapa tidak mempunyai wang menghantar saya ke sekolah,” katanya.

Ketika mahu berangkat ke Dakar untuk mencuba nasib dalam sesi pencarian bakat, penduduk kampungnya mendermakan wang tambang.

“Pakcik saya paling banyak membantu sejak awal. Selain itu, seluruh penduduk kampung turut menyumbang wang kepada saya,” katanya.

Semangat memajukan diri dan mahu keluar daripada kemiskinan antara sebab Mane sanggup menumpang hidup di Dakar dengan keluarga yang tidak dikenali.

“Mereka membantu apabila mengetahui, saya datang ke Dakar untuk menjadi bintang bolasepak,” katanya.

Itu kisah perjuangan dunia bolasepak yang berjaya mengubah nasib bintang-bintang terhebat dunia.

Adlin dan impian didikan seni untuk anak PPR

Di Kuala Lumpur, pelakon dan pengarah Adlin Aman Ramli muncul dengan idea di luar kotak. Seni harus menjadi alternatif tambahan kepada remaja miskin untuk mengubah kehidupan mereka.

Apa lagi pada era ledakan Relovusi Industri (IR) 4.0 yang menyediakan platform tanpa had bagi remaja kreatif mengembangkan bakat dan mendapatkan wang.

Apa idea Adlin?

Adlin mahu menjadikan seni sebagai pendidikan kemahiran masa depan untuk anak-anak miskin terutama remaja yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Bukan semua yang gagal ke universiti patut diberikan hanya satu pilihan latihan kemahiran terutama vokasional,” katanya.

Menurut Adlin yang hampir tiga dekad aktif sebagai seniman kreatif, ikon di kalangan anak miskin bandar boleh digarap dalam industri seni.

“Kursus ini untuk 60 ke 100 anak remaja berbakat dalam lakonan, muzik dan penulisan dan akan dididik sesuai dengan bakat mereka,” katanya.

Menurut Adlin, dengan silibus khas bagi frasa tiga ke enam bulan latihan dan seterusnya setahun, anak-anak miskin bandar akan didedahkan dengan bengkel seni sama ada di depan atau di balik tabir.

“Tidak semua formula untuk membasmi kemiskinan ialah pendidikan universiti atau vokasional, bakat seni juga satu aset membina kerjaya,” katanya.

Adlin percaya, ikon miskin bandar harus dicipta dalam dunia seni sebagai penjenamaan kebangkitan golongan tersebut.

Adlin membina silibus khas. Fokusnya anak-anak remaja PPR akan diberikan kursus seni yang khusus mengangkat karya sastera kebangsaan.

“Mereka terjun ke industri dengan misi baru iaitu tanggungjawab mempromosi karya khazanah sastera,” katanya.

Silibus Adlin fokus kepada pengarahan, lakonan, muzikalisasi dan persembahan artistik berdasarkan karya besar Sasterawan Negara.

Bintang filem Puteri Gunung Ledang ini yakin, projek ini bernilai nasional. Selain membina kerjaya seni, anak-anak PPR ini aset baharu mempromosi karya sastera ke khalayak arus perdana.

Malah, potensi mandiri amat tinggi dengan kursus tambahan bagi kemahiran memasarkan bahan karya mereka di platform media digital.

“Saya fikir Revolusi Industri (IR) 4.0 berasaskan karya seni mampu digelombangkan anak-anak PPR,” katanya.

Tanpa berselindung, Adlin menyatakan usaha menjayakan projek ini memerlukan sokongan kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Pendidikan.

“Percayalah, anak-anak PPR dalam subjek seni ini mampu menjadi ikon yang mengubah masa depan industri kandungan,” katanya.

Menurut Adlin, seni antara kerjaya relevan. Malah, anak-anak PPR ini akan menjenamakan nilai kemiskinan sebagai simbol kebangkitan generasi muda PPR.– 8 Disember, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen