Cabaran mendukung makna 'amanah'


Sheridan Mahavera

PARTI Amanah Negara (Amanah) berdepan ujian besar untuk memenuhi makna ‘amanah’ pada nama rasmi parti itu pada konvensyen tahunannya kali ini.

Aktivis dan ahli akar umbi mula mendesak pemimpin tertinggi Amanah yang terdiri daripada lima menteri Kabinet dan lima timbalan menteri, menggunakan pengaruh mereka untuk “membantu” pergerakan parti.

Pada konvensyen tahunan kali ini, perwakilan tidak meminta kontrak atau projek diberi kepada ahli parti seperti mana yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) yang terpalit skandal rasuah.

Sebaliknya mereka bercakap tentang kesukaran dalam membiayai program dan menubuhkan cawangan yang menjadi tulang belakang yang menjayakan rangkaian akar umbi parti.

Ini menyebabkan Amanah dalam dilema politik dan moral - jika pimpinan parti secara membuta tuli penuhi permintaan perwakilan, bermakna mereka juga tidak ada bezanya dengan BN. Apa gunanya mengkritik BN selama ini?

Paling penting, ini akan melanggar prinsip Pakatan Harapan (PH) yang berpegang kepada prinsip tadbir urus yang baik. Ini juga akan bermakna parti tidak lagi “Amanah”.

Tetapi, perwakilan dari Kelantan, Che Ibrahim Mohamad pula berkata parti tidak akan maju ke depan jika pemimpin mereka gagal mencari jalan untuk membantu aktivis akar umbi.

Dalam ucapannnya, Che Ibrahim menyebut tentang dilema moral-politik ini.

Aktivis dan ahli akar umbi mula mendesak pemimpin tertinggi Amanah yang terdiri daripada lima menteri Kabinet dan lima timbalan menteri, menggunakan pengaruh mereka untuk 'membantu' pergerakan parti.

“Duit ini macam petrol. Tak kira bagaimana hebat pun kereta, tetap tak boleh bergerak kalau tak diisi minyak,” katanya ketika berucap pada konvensyen semalam.

“Amanah mungkin ada pemimpin yang terbaik dalam Pakatan, idea terbaik dan ahli yang paling kuat bekerja, tetapi kalau tak ada duit parti tak akan ke mana.”

Che Ibrahim bercakap tentang bagaimana beliau sukar untuk menggerakkan aktiviti parti sambil perlu menyara keluarga dengan menoreh getah dan menanam kelapa sawit.

“Kalau harga komoditi tinggi, maka saya terpaksa tumpu untuk tuai hasil sebanyak yang mungkin. Tak banyak masa untuk politik sebab saya kena kerja lebih sementara harga tengah tinggi.

“Parti kena cari jalan untuk bantu ahli, kalau tidak ia akan gagal jadi parti yang memerintah. Saya sendiri tak dapat bekerja untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 kalau saya tak ada cukup dana.”

Wujud peluang dengan integriti

Seorang lagi perwakilan dari Kelantan, Hisyamuddin Ghazali, berkata kerajaan perlu mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan tanpa mengira fahaman politik.

“Ia perlu dilakukan secara telus dan berintegriti supaya ada padang yang sama rata untuk semua.

“Kita tidak boleh balik kepada era BN di mana peluang perniagaan dan lesen hanya diberikan kepada ahli atau penyokong mereka. Kita tak boleh sewenangnya memberi kontrak atau projek.

“Kita mahu buat lebih baik daripada BN supaya rakyat nampak yang kita ini lebih baik daripada kerajaan dulu.”  – 8 Disember, 2019.

Berita penuh di sini.            


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen