Tiada lagi pertemuan rahsia dengan menteri, kata Ahmad Zahid


Noel Achariam

Ahmad Zahid berkata mereka merumuskan bahawa pendirian rasmi Umno adalah semua spekulasi tentang rundingan pintu belakang perlu dihentikan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 7 Disember, 2019.

TIADA lagi pertemuan diadakan secara rahsia dengan menteri kerajaan, kata Ahmad Zahid Hamidi mengulas kontroversi pemimpin Umno bertemu dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali di kediaman menteri itu pada bulan lepas.

Presiden Umno itu berkata sebarang pertemuan dengan wakil kerajaan akan dibincangkan di peringkat atasan dan perlu melalui saluran parti.

Katanya kesemua wakil rakyat Umno bersetuju dengan syarat ini dan akan menolak sebarang usaha untuk mewujudkan kerajaan pintu belakang.

“Ahli Umno tidak wajar percaya dengan cerita di media sosial tentang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mengadakan rundingan pintu belakang.

“Saya sudah bertemu mereka dan mendapat jaminan bahawa mereka akan kekal sebagai ahli Parlimen BN dan Umno,” katanya pada majlis penutup Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Ahmad Zahid berkata mereka merumuskan bahawa pendirian rasmi Umno adalah semua spekulasi tentang rundingan pintu belakang perlu dihentikan.

Terdahulu, seorang wakil Pemuda Umno berkata parti itu perlu menumpukan perhatian untuk menang pada pilihan raya akan datang berbanding mengadakan rundingan pintu belakang untuk berkuasa semula.

Wakil Umno Cheras Johari Yazid berkata parti itu bersusah payah berjuang dan kalah pada pilihan raya lepas tetapi ia tidak bermakna parti itu tidak boleh menang pada pilihan raya seterusnya. – 7 Disember, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen