Kisah perhimpunan dua parti


Jahabar Sadiq

Berbeza daripada Kongres PKR yang disulami pergaduhan dan persaingan pemimpinnya, Perhimpunan Agung Umno dilihat suram dan lebih tertib. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 7 Disember, 2019.

PADA waktu dulu, ada mesyuarat parti terpaksa diadakan di tempat khas dengan kerusi yang dimatikan ke lantai kerana takut dibaling perwakilan berlainan kem.

Parti yang menjadi sebahagian daripada gabungan Barisan Nasional (BN) pada waktu itu menjadi bahan jenaka dan parti serpihannya juga menerima nasib sama.

Kini ia berlaku sekali lagi. Kali ini juga dalam satu parti komponen gabungan parti pemerintah, Pakatan Harapan (PH), akibat terasa hati, sindiran, sikap degil, pemecatan dan sepertinya.

Kali ini ia melibatkan PKR, parti terbesar mengikut bilangan kerusi Parlimen yang dipimpin Anwar Ibrahim. Beliau yang dianggap bakal perdana menteri itu menghadapi sejenis penentangan dalam parti sejak ia ditubuhkan olehnya 20 tahun lalu.

Perwakilan keluar dewan sewaktu persidangan hari ini di Melaka, hanya beberapa hari selepas kumpulan pengkritik Anwar ini setuju hadir ke kongres dan tidak mengadakan perhimpunan berasingan di Kuala Lumpur.

Ada anggota yang sudah dipecat, dan disambut dengan riang oleh yang lain. Ada tinju melayang dna pergelutan yang lebih teruk daripada pergaduhan belakang sekolah.

Bandingkan dengan perhimpunan agung Umno yang berlangsung dengan aman dan suram di ibu pejabatnya di Pusat Dagangan Dunia Putra. Dalam tempoh 18 bulan selepas hilang kuasa, parti itu bertindak rapi untuk kembali ke imej asalnya bagi merampas kuasa semula.

Umno juga penah ada pergaduhan di mesyuaratnya tetapi ia tidak pernah berlaku di perhimpunan utamanya. Ada disiplin parti, ada persetujuan untuk memastikan imej parti tidak tercalar oleh tindakan ganas sewaktu ia berkuasa.

PKR perlu tunjuk sikap lebih baik. Parti itu sudah berkuasa di peringkat persekutuan dalam pakatan bersama parti palin. Ia tidak boleh bersikap seperti gengster dalam filem – silap sedikit terus bertumbuk.

Pada masa ini pun, beberapa menteri tidak menunjukkan prestasi baik dalam kerajaan Dr Mahathir. Tambah lagi dengan perhimpunan parti penuh kepura-puraan di Melaka itu, berbanding dengan perhimpunan Umno yang tertib.

Jadi ia perlu memperbaiki diri. Lebih-lebih lagi mandat PH hanya tinggal 42 bulan dan Anwar sudahpun ditetapkan sebagai perdana menteri seterusnya. Jika anggota dalam parti Anwar sendiri boleh bertindak dengan memalukan pada masa ini, apa lagi dalam gabungan PH akan datang?

Anggota parti perlu tahu prestasi mereka dalam kerajaan dan perhimpunan PKR minggu ini akan memberi imej buruk kepada Anwar malah sebelum beliau dilantik ke jawatan itu.

Mereka perlu betindak lebih baik jika tidak mahu perjuangan politik 20 tahun itu musnah dengan prestasi dan tindak tanduk memalukan.

Setidak-tidaknya, mereka boleh belajar daripada Umno yang tahu berdisiplin semasa mesyuarat.

Jika tidak, ia akan diperolok-olokkan seperti parti politik itu. – 7 Disember, 2019. 

*Jahabar Sadiq adalah ketua pengarang The Malaysian Insight. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen