PERMINTAAN untuk peralihan kuasa perdana menteri ditetapkan tarikhnya akan dibawa pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan akan datang, kata Amanah hari ini.
Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata beliau akan mengemukakan perkara itu pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang akan dihadiri pemimpin tertinggi parti pemerintah termasuk Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Semasa konvensyen tahunan parti itu, beberapa perwakilan telah menuntut agar kepimpinan negara menekankan gabungan pemerintah untuk menetapkan tarikh yang jelas dalam peralihan kuasa.
Tuntutan tersebut adalah bagi menghentikan spekulasi mengenainya sehingga menyebabkan kekeliruan di kalangan anggota akar umbi dan malah membuat pelabur menjauhkan diri dari melabur di negara ini.
“Kami akan membawa tuntutan ini di Majlis Presiden Pakatan Harapan supaya mereka memberi perhatian terhadap perkara ini,” kata Mohamad kepada pemberita selepas hari kedua Konvensyen Tahunan Amanah di Shah Alam hari ini.
Pelan peralihan kuasa itu akan melibatkan Dr Mahathir dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Walaupun kedua-dua pemimpin itu mengatakan rancangan peralihan berada di landasan yang betul, ia bagaimanapun tidak menghentikan kritikan dalaman Pakatan yang sering mempersoalkan kejujuran Dr Mahathir.
Ini kerana perjanjian mengenai peralihan kuasa itu tidak menetapkan tarikh tertentu namun ia dijangka berlaku pada pertengahan penggal pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.
Wujud juga kelompok yang tidak mahu rancangan peralihan kuasa itu diteruskan dengan menuntut Dr Mahathir memegang jawatan tersebut bagi selama sepenggal penuh sehingga pilihan raya umum akan datang. – 7 Disember, 2019.
Komen