KUMPULAN pendidikan sekolah vernakular Cina diminta memikirkan tentang kepentingan negara terlebih dahulu selepas sentimen yang ditimbulkan kumpulan itu memberi kesan kepada dasar pendidikan negara , kata Pemuda Amanah.
Perwakilan sayap Amanah Shazni Munir Ithin berkata satu daripada dasar pendidikan negara adalah untuk membina rakyat yang bersatu-padu.
Namun katanya objektif ini terjejas ekoran kepentingan sempit yang menyebabkan perpecahan antara kaum di negara ini.
Shazni menamakan Dong Zong sebagai antara kumpulan tersebut dan beliau menggesa jawatankuasa persatuan sekolah Cina untuk memastikan dasar pendidikan negara melebihi kepentingan mereka.
Dong Zong serta kumpulan pendidikan sekolah Tamil bersungguh-sungguh melancarkan kempen untuk memastikan pengajaran khat dan jawi di sekolah vernakular menjadi subjek pilihan walaupun kerajaan menetapkan ia sebagai wajib.
Isu khat dan beberapa isu pendidikan melibatkan masyarakat Cina menjadi sebab utama Pakatan Harapan kalah teruk pada Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai baru-baru ini.
“Amanah tidak akan mengambil pendirian keras tetapi kita menggesa kumpulan seperti Dong Zong untuk menjadi lebih objektif dan rasional serta meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan sendiri,” kata Syazni pada Kongres Amanah di Shah Alam hari ini/
“Jika tidak, sentimen perkauman akan lebih menebal dalam generasi 10 tahun akan datang,” katanya.
Selain itu, Shazni menggesa pemimpin Amanah dalam kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan jumlah kerusi di peringkat pusat dan negeri.
Katanya lebih banyak kerusi Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) diperlukan bagi memberi perkhidmatan kepada pengundi yang akan bertambah selepas syarat undi dikurangkan kepada 18 tahun. – 7 Disember, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen