PERWAKILAN Amanah mengkritik pelaksanaan larangan merokok dan skim subsidi petrol bersasar oleh kerajaan Pakatan Harapan dan menyifatkan ia lari daripada dasar Pakatan Harapan.
Nasir Zakaria dari Kedah bersama perwakilan lain turut menuntut agar skim subsidi petrol bersasar itu ditangguhkan.
“Subsidi petrol ini akan jadi tragedi kepada kita. Dengan kenaikan harga satu sen setiap minggu, ini akan membebankan kita,” kata Nasir pada konvensyen tahunan Amanah di Shah Alam hari ini.
“Ia adalah sama seperti dasar yang telah menjatuhkan Pak Lah,” katanya merujuk kepada bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi.
Pentadbiran Barisan Nasional di bawah Abdullah dari 2004 hingga 2008 berdepan kejatuhan pada pilihan raya umum 2008 kerana kenaikan harga petrol.
Pentadbiran Pakatan menetapkan untuk menghentikan subsidi RON95 pada RM2.08 seliter.
Sebaliknya, bermula tahun hadapan, harga RON95 akan diapungkan secara mingguan manakala masyarakat beroendaoatan rendah akan menerima subsidi menerusi bantuan kewangan ke akaun mereka setiap bulan.
“Kita turut menerima banyak rungutan berhubung dasar larangan merokok,” kata Nasir ketika membahaskan ucapan presiden.
“Rakyat beratur panjang untuk dapatkan rawatan di hospital kerajaan. Mereka terpaksa berdiri di wad kecemasan kerana tak cukup katil. Tetapi kita sibuk fokuskan kepada merokok.”
Larangan merokok di premis makanan dimulakan oleh Dr Dzulkefly Ahmad, yang juga pemimpin jawatankuasa pusat Amanah.– 7 Disember, 2019.
Komen