Sikap 'big boss' mula muncul dalam Pakatan, kata perwakilan Amanah


Sheridan Mahavera

Sebahagian perwakilan yang hadir semasa Konvensyen Amanah di Shah Alam, Selangor, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 7 Disember, 2019.

ADA parti cuba menjadi “big boss” dalam Pakatan Harapan (PH), sehingga melanggar salah satu prinsip utama gabungan pemerintah iaitu kesamaan antara rakan komponen.

Tuduhan ini dibuat oleh Nor Khalim Sakib, perwakilan dari Johor pada konvensyen kebangsaan Amanah di Shah Alam hari ini ketika membahaskan ucapan presiden.

Bagaimanapun, beliau tidak menamakan parti itu.

Nor Khalim berkata sikap ini jelas dilihat semasa pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai baru-baru ini.

“Unsur negatif ini sudah mula dilihat dalam PH dan semasa PRK Tanjung Piai,” kata Nor Khalim yang berasal dari bahagian parti Tanjung Piai.

“Kami berharap pimpinan mengambil tindakan terhadap perkara ini sehingga tidak ada isu seperti ‘big boss’ dalam PH. Kerana kita tidak mahu keadaan ada ‘big boss’ dan parti kecil dipijak.”

PH kalah dalam PRK itu di tangan Barisan Nasional (BN) dengan lebih 15,000 undi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH memenangi kerusi itu dengan undian kelebihan tipis 500 undi.

PH secara konsisten berkataempat parti mempunyai kedudukan setara antara satu sama lain, tidak seperti BN di mana Umno menjadi ketua.

Selain Amanah, parti lain dalam PH adalah PKR, Bersatu dan DAP.

Nor Khalim juga menggesa kepimpinan Amanah memastikan pelan penggantian Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim dilaksanakan.

“Janji bagi rancangan penggantian akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun selepas PRU14,” katanya.

“Kami mahu kepimpinan memastikan tempoh masa untuk rancangan dipatuhi dan ia dilakukan secara harmoni dan tanpa sebarang konflik.” – 7 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen