Sektor pengangkutan Pulau Pinang diabaikan pada Bajet 2018, kata Guan Eng


Looi Sue-Chern

Kutipan tol di Jambatan Pulau Pinang masih dilanjutkan sehingga 2038 untuk menampung kos pembinaan jambatan kedua.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2017.

KERAJAAN Pulau Pinang tidak gembira apabila lapangan terbang antarabangsa di negeri itu hanya “dinaik taraf” untuk menerima 9 juta penumpang yang tidak mampu ditampung pada masa hadapan. 

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata, apabila selesai kerja-kerja menaik taraf, ia akan memerlukan lagi proses yang sama. 

“Kita tahu kerja pembinaan dan menaik taraf ini akan memakan masa selama tiga hingga empat tahun, jadi ketika kerja itu siap, Pulau Pinang perlu meminta lagi untuk proses pembesaran atau naik taraf.

“Penaiktarafan itu perlu mampu menampung 12 juta penumpang. Lakukan dalam satu masa. Jangan buatkan Pulau Pinang minta naik taraf banyak kali,” katanya kepada pemberita di Seberang Prai hari ini. 

Lapangan terbang Pulau Pinang di Bayan Lepas pernah dinaik taraf sebelum ini dengan kemampuan menampung penumpang sehingga 6.5 juta. Ia sepatutnya mampu bertahan sehingga 2020, namun lapangan terbang berkenaan menerima 6.7 juta penumpang tahun lalu dan 7.1 juta penumpang tahun ini. 

Lim berkata jumlah penumpang itu akan bertambah kerana syarikat penerbangan Qatar Airways membuat penerbangan terus antara Doha dan Pulau Pinang bermula Februari tahun depan. 

Kerajaan negeri yang diterajui pembangkang itu juga meluahkan rasa kesal apabila perkhidmatan feri yang menjadi ikon negeri itu dipinggirkan pada pembentangan Baet 2018 oleh Perdana Menteri Najib Razak semalam. 

Lim berkata, tiada langsung disebut tentang dana atau apa-apa indikasi bagaimana Prasarana Malaysia Bhd yang berkaitan kerajaan - merupakan syarikat pengendali pengangkutan awam - akan mempertingkatkan perkhidmatan feri. 

Prasarana mula mengambil alih operasi feri itu dari Penang Port. Ribuan penumpang dan pengguna jalan raya menggunakan feri, yang merupakan sebahagian daripada warisan Pulau Pinang, untuk berulang alik dari pulau ke tanah besar setiap hari.

Lim yang juga ahli Parlimen Bagan berkata, perkhidmatan feri memerlukan sekurang-kurangnya RM100 juta untuk menjadi bertambah baik. 

“Tanpa sebarang pelaburan kapital untuk membeli feri baharu atau peralatan, usaha untuk meningkatkan perkhidmatan ini tidak akan berkesan, dan Prasarana akan kerugian kira-kira RM23 juta setiap tahun,” katanya

Tol di jambatan Pulau Pinang juga sepatutnya dihapuskan, bersama dengan cadangan bajet yang menghapuskan beberapa tol di Selangor, Johor dan Kedah. 

“Jambatan itu merupakan antara konsesi tol yang pertama. Kos pembinaan jambatan itu sudah dilunaskan. 

“Namun kutipan tol masih dilanjutkan sehingga 2038 untuk menampung kos pembinaan jambatan kedua juga, ia juga perlu dimansuhkan,” katanya. 

Najib pada pembentangan Bajet 20118 semalam, mengumumkan pemansuhan empat tol berkuatkuasa 1 Januari depan. Dua di Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor, dan dua lagi masing-masing di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Eastern Dispersal Link di Johor.

Lim juga berkata perlu penjelasan mengenai pengumuman bajet berhubung perkhidmatan majlis tempatan yang dikecualikan dari GST kerana majlis tempatan Pulau Pinang kini menyerap cukai 6%.

“Majlis masih perlu membayar GST apabila berkaitan projek infrastruktur. 

“Sejak 2008, Pulau Pinang membelanjakan RM3.1 bilion ke atas projek infrastruktur dan RM200 juta daripadanya ke GST. Bayangkan berapa banyak lagi projek pembangunan lain yang boleh dilaksanakan menggunakan dana itu.” – 28 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen