FIRMA telekomunikasi Swedan, Ericsson bersetuju membayar lebih AS$1 bilion (RM4.2 bilion) untuk menyelesaikan tuduhan rasuah yang melibatkan beberapa negara di Asia dan Timur Tengah, kata Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat semalam.
Anak syarikat Mesir juga mengaku bersalah di mahkamah persekutuan di New York dengan tuduhan bersubahat melanggar Akta Amalan Rasuah Antarabangsa 1977.
“Perbuatan rasuah Ericsson melibatkan eksekutif peringkat tertinggi dan berlangsung selama 17 tahun dan di sekurang-kurangnya lima negara, semuanya dalam usaha yang salah untuk meningkatkan keuntungan,” kata Brian Benczkowski, ketua bahagian jenayah Jabatan Keadilan, dalam satu kenyataan.
Undang-undang AS memberikan bidang kuasa berhubung rasuah oleh syarikat yang menjual sahamnya dalam pasaran saham Amerika atau jika jenayah itu ada kaitan dengan sempadan negara atau sistem kewangan negara.
Pendakwa berkata antara 2000 dan 2016, syarikat itu terlibat dalam skim membayar rasuah, memalsukan buku dan rekodnya dan memastikan pegawai syarikat menutup mata terhadap rasuah, menurut kenyataan Jabatan Kehakiman.
Rasuah didakwa berlaku di Djibouti, China, Vietnam, Indonesia dan Kuwait.
Antara contoh lain, Ericsson mengakui sepanjang tahun itu, ia menyalurkan puluhan juta dolar melalui perunding dan penyedia perkhidmatan di China, memperuntukan sejumlah dana untuk hadiah mewah, perjalanan dan hiburan kepada pegawai asing bagi mendapatkan perniagaan daripada syarikat telekomunikasi milik negara.
Dalam satu kenyataan di laman webnya, syarikat itu berkata ia tidak akan memberi komen mengenai perkara itu selain mengatakan jumlah AS$1.2 bilion, yang didedahkan pada September, “masih merupakan anggaran semasa bagi jumlah yang diperlukan untuk membayar sekatan monetari” dan lain-lain kos.
Dana tersebut dibahagikan antara Jabatan Kehakiman dan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa.
Kedua-dua agensi itu menguatkuasakan undang-undang rasuah luar negara AS. – AFP, 7 Disember, 2019.
Komen