AKAR umbi Amanah memilih kesinambungan berbanding perubahan dengan memilih hampir semua pengasasnya untuk menerajui parti bagi tempoh tiga tahun lagi.
Semalam, lima menteri dan empat timbalan menteri dipilih semula menduduki jawatankuasa pusat 27 anggota yang merupakan badan pembuat keputusan tertinggi parti.
Kesinambungan ini dijangka menyaksikan 27 orang ini mengekalkan jawatan presiden, timbalan dan tiga naib presiden.
Lima jawatan tertinggi dipilih oleh jawatankuasa pusat bersama 14 ketua negeri dan pemimpin sayap Wanita dan Pemuda.
“Perwakilan berpuas hati dengan prestasi daripada kepimpinan negara membina parti sejak empat tahun lalu dalam mengharungi tempoh yang mencabar,” kata ketua bahagian Segambut, Irwan Sabei.
Sejak empat tahun lalu ketika parti bergelut untuk mendapatkan tempatnya, ia terpaksa berdepan dua pilihan raya, pilihan raya negeri Sarawak dan Pilihan Raya Umum ke-14, kata Irwan.
Selepas Amanah dan rakan lain dalam Pakatan Harapan memenangi kuasa persekutuan, para pemimpin tertinggi perlu bergelut dengan tanggungjawab sebagai menteri dan timbalan menteri.
“Justeru, memandangkan cabaran yang kita hadapi, perwakilan berpuas hati dengan kepimpinan walaupun terdapat masalah dalaman, seperti membina jentera parti,” kata Irwan.
“Kami memberikan mereka satu lagi penggal untuk melihat sejauh mana mereka boleh membawa parti. Selepas dua penggal, siapa tahu?” Irwan memberitahu The Malaysian Insight di luar persidangan Amanah di Shah Alam malam tadi.
Tidak seperti kebanyakan parti politik lain, Amanah tidak menjalankan pemilihan individu bagi lima jawatan tertinggi. Delegasi mengundi jawatankuasa 27 anggota yang kemudiannya akan memilih di kalangan mereka yang akan memegang jawatan itu. – 7 Disember, 2019.
Berita penuh di sini
Komen