Batal dana pembangunan ahli Parlimen enggan isytihar harta, kata Mahfuz


Sheridan Mahavera

imbalan Menteri Sumber Manusia Mahfuz Omar berkata pemberian dana pembangunan untuk ahli Parlimen adalah hak prerogatif perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Disember, 2019.

DANA pembangunan ahli Parlimen yang tidak mengisytiharkan harta mereka harus dibatalkan, kata timbalan menteri ketika parti pembangkang PAS menentang peraturan parlimen yang mengarahkan anggota Dewan Rakyat berbuat demikian.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Mahfuz Omar berkata pemberian dana pembangunan untuk ahli Parlimen adalah hak prerogatif perdana menteri.

Dana ini berbeza dengan elaun parlimen yang dibayar oleh badan legislatif dan tidak boleh disentuh, katanya.

Beliau menambah bahawa Parlimen sendiri boleh meminda undang-undang lain untuk membatalkan faedah yang dimiliki bagi penggubal undang-undang yang melakukan kesalahan seperti AP bagi kereta import.

“Saya mencadangkan bahawa segala faedah dibatalkan termasuk peruntukan pembangunan tanpa mengira sama ada mereka pembangkang atau ahli Parlimen kerajaan (yang tidak mengisytiharkan aset mereka),” kata Mahfuz kepada wartawan hari ini.

“Dana pembangunan ini boleh disalurkan kepada kawasan mereka menerusi kaedah lain, mereka ini tidak ada integriti kerana enggan mengisytiharkan harta mereka,” kata Mahfuz.

Hari ini, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menentang arahan parlimen kepada semua ahli Parlimen untuk mengisytiharkan harta mereka dan mengatakan tiada keperluan untuk berbuat demikian.

Abdul Hadi dilaporkan berkata, arahan untuk mengisytiharkan harta adalah sebahagian daripada manifesto pilihan raya Pakatan Harapan dan kerana itu ahli Parlimen PAS tidak wajib untuk melakukannya.

5 Disember merupakan tarikh akhir untuk semua ahli Parlimen mengisytiharkan harta mereka dan hanya 160 daripada 222 ahli Parlimen yang berbuat demikian.

Daripada 62 yang tidak mengisytiharkan harta, 38 adalah daripada Barisan Nasional, 18 dari PAS, tiga dari Gabungan Parti Sarawak, seorang dari Parti Solidariti Tanah Airku dan dua Bebas.

Dalam pada itu, Mahfuz turut membidas Hadi dengan menyatakan sikap itu menggambarkan tahap integriti dalam PAS.

“Sekiranya tak boleh patuh pada arahan (untuk isytihar harta), kami persoalkan sama ada kamu boleh urus dana dengan baik.” – 6 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen