Perbandingan bajet BN dan Pakatan Harapan


Sheridan Mahavera

Kedua-dua bajet Barisan Nasional dan Pakatan Harapan adalan manifesto mini untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata penganalisis. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 28 Oktober, 2017.

MUNGKIN nampak berbeza, tetapi bajet Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) ada satu persamaan - ia adalah manifesto mini untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kerana ia adalah ‘tarikan’ setiap gabungan mengapa mereka harus dipilih untuk mentadbir negara, kata seorang penganalisis.

“Tidak dinafikan yang Bajet 2018 (BN) adalah bajet pilihan raya,” kata ahli ekonomi bebas Azrul Azwa Ahmad Tajuddin.

Daripada ‘sesuatu yang kecil’ untuk semua orang hingga ‘sesuatu yang istimewa’ untuk  asas pengundi teras.

Sama juga dengan bajet PH yang mengandungi polisi-polisi ekonomi  yang dijanjikannya untuk digunakan sekiranya memenangi PRU14.

Secara strukturnya, kedua-dua bajet mempunyai persamaan untuk memanfaatkan kuasa pengguna bagi memacu ekonomi kerana penggunaan swasta membentuk 53% daripada ekonomi. Tetapi, mereka mahu lakukannya melalui cara yang berbeza.

Satu lagi perbezaan penting ialah PH percaya ia mampu mentadbir kerajaan dengan wang yang sedikit tetapi menggunakan bahagian dana lebih besar untuk bangunkan wilayah termiskin di negara ini.

Bajet PH berjumlah RM258.52 bilion adalah RM21.7 bilion kurang daripada bajet BN yang berjumlah RM280.25 bilion.

PH mendakwa ia akan mencapai bajet yang lebih kecil dengan mengurangkan RM20 bilion dalam pembaziran dan rasuah dalam kerajaan.

Melalui perbelanjaan yang kurang tetapi lebih cekap, bajet PH merekodkan defisit KDNK 2% lebih rendah. 

Nisbah defisit BN dijangka menjadi 3%.

Merujuk kepada data kerajaan sendiri, projek-projek PH akan mengumpul pendapatan sebanyak RM229.44 bilion berbanding pendapatan kerajaan RM239.86 bilion.

BN memperuntukkan RM46 bilion  atau 16% daripada bajetnya untuk pembangunan dan RM234.25 bilion untuk perbelanjaan pengurusan.

Ia meningkatkan jumlah wang yang dibelanjakannya pada 2018 kepada RM280.25 berbanding RM260.80 pada 2017.

Namun, BN masih membelanjakan jumlah yang sama - RM46 bilion - dalam pembangunan pada tahun ini seperti yang dilakukannya pada tahun lepas.

PH memperuntukkan RM58.35 bilion atau 23% untuk pembangunan, sementara baki sebanyak RM200.16 bilion untuk belanja pengurusan.

Azrul Azwar berkata perbandingan Bajet 2017 dan 2018 BN yang hampir menunjukkan berlaku peningkatan belanja pengurusan sebnayak RM14.31 bilion.

“Sudah tentu, melainkan geran dan pemindahan kepada kerajaan negeri, pengambilalihan aset dan pemberian geran kepada badan berkanun, semua komponen lain perbelanjaan pengurusan dijangka akan meningkat.”

Sebaliknya, bajet PH mensasarkan untuk mengurangkan belanja pengurusan sebanyak RM20 bilion melalui penghapusan pembaziran dan salah urus, seperti yang sering dilihat dalam laporan Ketua Audit Negara.

Hapus GST?

Polisi-polisi GST mereka menunjukkan perbezaan BN dan PH bagaimana ia berfungsi dalam ekonomi.

Seperti yang ditekankan menteri-menteri Kabinet, GST memberi sumber pendapatan yang sangat diperlukan memandangkan pendapatan negara melalui jualan minyak dan gas menjunam pada 2014.

Pada 2017, kerajaan memperolehi lebihan pendapatan RM41 bilion daripada GST.

PH ingin menghapuskan GST dengan menurunkan kadar secara progresif kepada sifar menjelang akhir tahun pertamanya.

PH berpendapat GST telah mengurangkan perbelanjaan pengguna dan sebaik saja ia dihapuskan, ia akan mencetuskan sedikit ledakan penggunaan yang akan memberi hasil pendapatan melalui cukai-cukai lain seperti cukai korporat dan duti import.

Namun, Azrul Azwar berkata, pemansuhan GST akan membazirkan usaha serta perbelanjaan yang banyak yang telah digunakan bagi melaksanakan sistem itu di seluruh negara.

“Sebaliknya, cukai boleh diubah dengan tiga sistem berperingkat,” katanya.

Di bawah sistem itu, keperluan asas akan dikenakan cukai rendah, barangan bukan mewah tetapi tidak penting akan mempunyai kadar standard dan barangan mewah akan dikenakan cukai yang tinggi.

“Pada masa yang sama, kita boleh pilih mekanisme percukaian lain yang progresif bagi memperluas dan mempelbagaikan asas pendapatan negara seperti Cukai Keuntungan Modal (CGT), cukai warisan atau cukai durian runtuh.” 

Pakatan Harapan berpendapat GST telah mengurangkan perbelanjaan pengguna. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2017.

Pembaharuan gaji

Seperti yang disebut Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, bajet BN ada sesuatu untuk semua rakyat di setiap sektor dan kelas.

Ia mempunyai peruntukan besar bagi mereka yang berada dalam sekotr pertanian, pelajar, penjawat awam dan golongan berpendapatan sederhana.

Insentif penanaman sebanyak RM2.5 bilion akan diberi kepada peladang dan pengurangan cukai bagi mereka yang berpendapatan antara RM20,000 hingga RM70,000 setahun.

BN juga akan memberi RM1,500 kepada 1.6 juta penjawat awam yang akan menelan belanja kos RM2.4 bilion tahun depan.

Peladang juga tidak terkecuali dari bajet PH, tetapi penekanan utamanya ialah peningkatan gaji minimum pekerja dari RM1,000 kepada RM1,500.

Pembangkang juga menawarkan sistem pembayaran bersama untuk membantu syarikat-syarikat memenuhi penambahan kos menaikkan gaji selama tiga tahun. Ia dijangkakan akan menelan belanja RM2.5 bilion setahun.

Ketua jawatankuasa bajet PH, Wong Chen berkata polisi ini mewakili tunggak utama agenda ekonomi PH, yang berkait dengan semua masalah yang dihadapi negara, iaitu dari kekurangan rumah mampu milik dan kesihatan hinggalah peningkatan inflasi dan defisit kerajaan.

“Apabila kuasa beli pekerja lebih banyak, mereka boleh memilih perumahan dan penjagaan kesihatan yang lebih baik. Mereka tak perlu menunggu bantuan kerajaan,” kata Wong yang juga Ahli Parlimen Kelana Jaya.

“Mereka berbelanja lebih dan ini meningkatkan keuntungan syarikat. Apabila pekerja di sektor swasta diberi gaji yang lebih baik, mereka akan kurang beri tekanan kepada kerajaan. Ini akhirnya akan mengurangkan keperluan bagi kerajaan mengadakan bajet yang besar.” – 28 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen