UMNO sedang merangka satu pelan tindakan konkrit atau blueprint bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.
Annuar berkata pelan tersebut akan dijadikan asas untuk menyusun gerak kerja parti bersama PAS dalam gagasan Muafakat Nasional.
“Ibu pejabat dengan kerjasama Umno negeri-negeri sedang menyiapkan satu blueprint PRU15. Blueprint pastikan Pakatan Harapan kalah, Muafakat Nasional ke Putrajaya.
“Blueprint ini akan menjadi asas pelan tindakan Muafakat Nasional yang sedang diusahakan seara bersama dengan rakan kita PAS,” katanya ketika menyampaikan laporan parti di Perhimpunan Agung Umno 2019 (PAU2019) di Kuala Lumpur, hari ini.
Pelan tindakan tersebut merupakan salah satu daripada tujuh tindakan pembaharuan yang dibuat oleh Umno untuk memperkukuhkan lagi jentera pentadbiran parti.
Antara lain yang dilakukan menubuhkan jabatan pilihan raya dan jabatan komunikasi strategik, mengintegrasikan sistem pangkalan data pemilih, menyediakan prosedur pengurusan pilihan raya dan menjalankan seminar pentadbiran parti di peringkat negeri.
Mengulas lanjut, Annuar berkata Umno dan PAS bersetuju untuk mewujudkan satu sekretariat tetap yang akan beroperasi di Menara Datuk Onn.
“Umno dan PAS bersetuju mewujudkan sekretariat tetap yang dikendalikan oleh setiausaha agung masing-masing untuk melaksanakan keputusan jawatankuasa pemandu dan jawatankuasa teknikal yang efektif dan agresif lagi,” katanya.
Dalam pembentangan laporan tersebut, Annuar turut memaklumkan keahlian Umno terkini berjumlah 3,292, 667 orang.
Jelasnya, selepas membuat pemutihan ahli, parti mendapati hanya 2% saja yang bertukar haluan menyertai parti lain manakala 4% didapati meninggal dunia.
“Semua dikeluarkan daripada senarai parti. Walaupun demikian Umno tetap gagah perkasa.
“Dalam tempoh tiga bulan keahlian baru dibuka secara online, Umno menerima 11,363 ahli baharu daripada keseluruhan 28,000 ahli baru yang mendaftar tahun ini,” katanya. – 6 Disember, 2019.
Komen