.jpg)
KEMENTERIAN Sumber Manusia dilaporkan akan mengedarkan senarai pekerjaan yang dikategorikan berisiko pada masa depan sebagai rujukan pelajar untuk memilih jurusan di institusi pendidikan tinggi kelak.
Langkah ini juga dikatakan boleh membantu pelajar mengelak memilih bidang pengajian yang tidak mempunyai masa depan atau sedia berdepan risiko tidak memiliki pekerjaan selepas menamatkan pengajian.
Ironinya tatkala kita terus berdebat tentang kadar pengangguran serta kesukaran golongan belia memperoleh pekerjaan, jangan lupa pasaran buruh sedang melalui proses transformasi yang cukup drastik dan pantas.
Ini sekali gus menuntut penjenamaan semula beberapa bidang kerjaya yang selama ini dianggap penting, relevan dan tradisional.
Justeru, eloklah sejak di bangku sekolah lagi golongan remaja diberikan pendedahan dan pengetahuan yang sewajarnya tentang hala tuju dan masa depan dunia pekerjaan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Hal ini sangat penting kerana kita tidak mahu golongan muda salah memilih jurusan pengajian sehingga berhadapan risiko besar bila memasuki pasaran kerjaya kelak.
Tambahan pula ini bukan lagi soal ada kerja atau tidak, tetapi apakah kita dan kemahiran kita relevan atau tidak dengan keperluan dan tuntutan dunia pekerjaan pada ketika itu.
Apa yang pasti hanya yang relevan dan mampu bersaing boleh meneruskan kelangsungan hidup.
Dalam konteks ini pihak institusi pengajian tinggi (IPT) juga perlu memainkan peranan yang penting. Misalnya perlu dilaksanakan kajian pasaran yang menyeluruh terhadap program pengajian yang sedang ditawarkan bagi mengetahui kerelevanan program tersebut untuk masa hadapan.
Program yang ada mungkin sangat relevan 10 tahun lepas tetapi kemungkinan besar semakin tidak relevan dalam lima ke 10 tahun akan datang.
Untuk itu IPT perlu secara berterusan mengadakan sesi libat urus dengan pihak industri bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas langsung daripada pihak berkepentingan tentang kesesuaian sesuatu bidang pengajian yang ditawarkan.
Semakan kurikulum yang biasa dibuat perlu betul-betul menerapkan keperluan pihak industri. Program yang tidak relevan wajar dijumud atau dilupuskan saja dengan segera untuk mengelak sebarang bentuk pembaziran.
Hakikatnya jika pihak IPT dapat menawarkan bidang pengajian yang relevan untuk masa depan maka tidak akan timbul “senarai pekerjaan tiada masa depan” seperti hendak diedarkan oleh kementerian ini.
Secara idealnya kita tidak mahu ada senarai seperti ini sebaliknya kita mahu semua bidang pengajian serta pekerjaan yang ada sentiasa relevan dan ada masa depan yang cerah.
Menteri pendidikan sendiri pernah mendedahkan hampir 60% siswazah peringkat pengajian ijazah pertama dan ke atas masih menganggur selepas setahun menamatkan pengajian.
Beliau lantas meminta semua universiti awam mengambil kira keperluan guna tenaga dan bidang kritikal yang sudah dikaji dan dibentangkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perangkaan Malaysia, Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (Ilmia), Talentcorp, Jobstreet dan agensi lain dalam menyemak kurikulum sedia ada serta merangka program baru.
Justeru, langkah drastik perlu diambil bagi membantu mengurangkan kadar pengangguran serta menangani masalah ketidakpadanan bidang pengajian dengan keperluan pasaran buruh.
Malah laporan KPMG International dan Harvey Nash 2019 sebelum ini pernah mendedahkan peningkatan dalam pelaburan teknologi di seluruh dunia bakal menyaksikan satu daripada lima pekerjaan akan digantikan oleh automasi dan kecerdasan buatan (AI) dalam tempoh lima tahun akan datang.
Hal ini kerana apabila organisasi global memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi, ia akan meningkatkan kecekapan dalam perniagaan mereka.
Selari dengan perkembangan ini, pekerjaan baharu dikatakan akan muncul untuk mengimbangi dan membolehkan pekerja melaksanakan tugas yang lebih tinggi dan akan menjurus kepada penyusunan semula peranan dalam keseluruhan bidang perniagaan.
Hakikatnya perkembangan pesat dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi termasuk Industri 4.0 (IR4.0) menyaksikan semua organisasi baik kecil mahupun besar, baik lokal mahupun global, mula memberikan penumpuan khusus ke arah mengurangkan kebergantungan yang serius kepada tenaga pekerja.
Mereka sebaliknya mula menyediakan peruntukan tambahan untuk melabur dalam peningkatan dan penggunaan teknologi terkini.
Ironinya perkembangan ini mula mencetuskan cabaran getir kepada pencari kerja di seluruh dunia.
Rakyat kita juga nampaknya mula menerima tempias tersebut di mana pencari kerja termasuk graduan semakin sukar memperoleh peluang pekerjaan jika tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan apatah lagi mereka sudah boleh digantikan oleh mesin dan robot.
Jadi perkembangan seperti ini perlu diambil perhatian yang serius oleh pihak sekolah, IPT dan juga ibu bapa dalam melakar dan mencongak masa depan anak-anak.
Kita perlu sentiasa peka dengan perkembangan baharu yang sedang berlaku dalam dunia kerjaya supaya dapat memeta hala tuju yang jelas untuk masa depan.
Misalnya kita pernah didedahkan beberapa jenis pekerjaan yang dijangka akan pupus menjelang tahun 2022 antaranya, kerani kemasukan data, setiausaha eksekutif dan pentadbiran, pekerja khidmat pelanggan, akauntan dan juruaudit serta pengurus besar dan operasi.
Manakala antara jawatan baharu yang bakal diperlukan pada 2022 ialah, AI dan pakar pembelajaran mesin, pakar transformasi digital, pakar teknologi baru serta pakar pembangunan organisasi.
Data daripada World Economic Forum 2018 ini mungkin betul atau boleh jadi kurang tepat, tetapi apa yang pasti risiko dan cabaran besar sedang menanti golongan belia yang bakal melangkah masuk ke alam kerjaya kelak.
Justeru, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan anak-anak bersedia menghadapi senario kritikal ini. – 6 Disember, 2019.
* Noor Mohamad Shakil Hameed adalah timbalan pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen