VISI Islam yang inklusif dan progresif dibawa Pakatan Harapan yang kurang diterima orang Islam negara ini tidak melemahkan semangat Amanah untuk memperjuangkan pendekatan itu, kata Presiden Mohamad Sabu.
Mohamad memberitahu The Malaysian Insight yang Amanah berdepan banyak cabaran dalam usaha mereka mempromosi konsep Rahmatan lil alamin, tetapi usaha menyebarkannya masih diteruskan.
Salah satu usaha yang sedang giat dijalankan adalah mengadakan pelbagai rancangan menerusi saluran TV Al Hijrah yang memberi tumpuan kepada inklusiviti, belas ehsan dan kepentingan menolak korupsi.
Bagaimanapun, kata Mohamad, masih wujud penceramah agama tertentu yang menyebar dakyah kebencian dan curiga di masjid dan surau di seluruh negara.
Jelasnya lagi, kerajaan juga sudah membelanjakan berbilion ringgit untuk menyelamatkan agensi Islam dan Melayu seperti Tabung Haji dan Felda, yang dijarah kekayaannya oleh Umno ketika pentadbiran Barisan Nasional dahulu.
Bagaimanapun, dalam empat pilihan raya kecil diadakan tahun ini, orang Melayu masih mengundi Umno yang merosakkan agensi ini, katanya lagi.
“Amanah ada tanggungjawab besar dan kita tahu ia adalah laluan sukar. Memang dalam politik cara paling mudah nak menang adalah main (isu) bangsa dan agama. Kita tak perlu belajar tinggi untuk main sentimen perkauman,” katanya yang juga menteri pertahanan itu kepada The Malaysian Insight.
“Bila kita nak cakap pasal Rahmatan lil alamin kena pakai fikiran kita, kena analisis. Amanah memang berhadapan cabaran sukar tapi saya yakin satu hari kita akan keluar dari kemelut perkauman ini,” katanya menjelang Kongres Amanah yang akan diadakan hujung minggu ini.
Ahli Amanah dijangka menggunakan kongres itu sebagai medan wacana usaha menjayakan konsep Rahmatan lil alamin dibawa kerajaan PH.
Amanah mungkin adalah parti terkecil dan kurang dikenali dalam PH tetapi ia memainkan salah satu peranan terbesar, kata Mohamad lagi.
Jelasnya, peranan utama Amanah adalah untuk memerangi gelombang kebangkitan nasionalis Melayu dan ultra konservatif Islam yang semakin menjadi-jadi sejak Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Dibandingkan dengan parti PH lain, Amanah berupaya berbuat demikian kerana sebilangan besar ahlinya adalah pendidik, penceramah dan imam dalam pelbagai insitusi pendidikan dan agensi agama Islam.
Malah, Amanah juga mempunyai ramai ahli bukan Islam yang mendapat hak setara dengan ahli beragama Islam.
Tetapi usaha berterusan mempromosi jenama Islam dibawa PH terutama sekali oleh Menteri Hal Ehwal Agama Mujahid Yusof Rawa masih tidak membuahkan hasil kerana sikap perkauman dan tiada tolak ansur beragama masih kuat dalam kalangan orang Islam di negara ini.
Kajian dikeluarkan Ilham Centre awal tahun ini mendedahkan majoriti responden tidak yakin dengan jenama Islam di bawa PH.
Mohamad, bagaimanapun tidak terkejut dengan hasil kajian itu, kerana menurutnya ramai cendikiawan Melayu yang belajar dalam negara pelbagai kaum di luar negara menjadi penyokong nasionalis Melayu apabila pulang ke tanah air.
“Bila pelajar kita pergi belajar Islam di Timur Tengah mereka balik bukan dengan pemikiran Islamik tapi dengan berqiblatkan Arab dan ini menjadikan mereka senang dipengaruh sentimen perkauman.”
Menyentuh isu Kongres Maruah Melayu yang dihadiri ramai pemimpin PH, Mohamad berkata beliau tidak bersetuju dengan ucapan berbaur perkauman dibuat di situ.
“Saya dengar saja, semua itu yang terlibat semua penyangak-penyangak yang sokong Najib (Razak), semua tak peduli masalah 1MDB, bagi mereka kalau Melayu curi tidak mengapa, asalkan jangan Cina yang curi.”
Mohamad juga berkata keputusannya hadir kongres hanyalah untuk menemani Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Saya pergi untuk pastikan Dr Mahathir tak pergi sendirian.”
Mohamad masih kekal optimis, percaya sekiranya diberikan masa, PH akan dapat membebaskan minda Melayu yang dijajah sikap perkauman.
“Kita akan teruskan (dengan visi Islam progresif ini). Ia akan mengambil masa tapi saya yakin kita akan berjaya satu hari nanti walaupun saya mungkin tidak ada untuk melihatnya.” – 6 Disember, 2019.
Komen