AMANAH mengikut peraturan dalam lantikan politik badan kerajaan yang diselia menteri, kata Presiden Mohamad Sabu.
Pelantikan penyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu perlu bagi memastikan pelaksanaan dasar kerajaan dapat dijalankan dengan baik tanpa sabotaj, tambahnya.
Mohamad mengulas kecaman pihak tertentu terhadap lantikan politik, terutama dalam organisasi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Tambahnya, PH juga tidak merombak sepenuhnya lantikan politik dibuat bekas kerajaan Barisan Nasional.
“Dasar kerjaan kena berjalan dengan baik dan kadang-kadang kita lantik daripada kalangan mereka yang menyokong dasar kerajaan supaya tak berlaku sabotaj,” katanya yang juga menteri pertahanan itu.
“Kita lantik (orang) tentu(nya) di tempat yang kita boleh lantik,” katanya, menambah yang lantikan politik tidak dibuat dalam pengurusan dan profesional perkhidmatan awam.
Timbalan Presiden Amanah yang juga Menteri Pertanian Salahuddin Ayob dikecam hebat kerana campur tangan dalam pemberian tender baja padi dikeluarkan kementeriannya.
Salahuddin secara rasmi memohon tender itu diberikan kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), sebuah agensi berkaitan kerajaan yang menyelia kebajikan pesawah negara ini.
Presiden MCA Wee Ka Siong bagaimanapun mengecam tindakan itu kerana ia melanggar janji PH untuk membuka proses pemberian tender dan kontrak kerajaan.
Wee juga mempersoalkan tindakan Salahuddin memohon tender itu disebabkan Lembaga Pengarah Nafas dipenuhi lantikan politik Amanah.
Salahuddin mempertahankan tindakannya, berkata perolehan kontrak itu memberi manfaat kepada Nafas seterusnya kelebihan kepada 920,000 ahlinya.
Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight, Mohamad menyokong kenyataan Salahuddin, berkata Nafas perlu dibantu kerana ia mewakili lebih 900,000 petani seluruh negara.
“Nafas itu ada lebih 900,00 petani terlibat. 98% adalah orang Melayu. Mereka perlu terus dibantu dan Nafas ada industri kilang baja.”
Mohamad juga menolak dakwaan yang Salahuddin meletakkan ramai penyokongnya dalam Lembaga Pengarah Nafas.
“Dalam Nafas, separuh lembaga pengarahnya masih ahli Umno yang dulu. Maksudnya yang dulu tak expired (tak dibuang), kita biar dulu. Kita tak boleh kata semua PH.”. – 6 Disember, 2019.
Komen