Surat 30 tahun jadi azimat


Noor Azam Shairi Gan Pei Ling

Dr Chandra Muzaffar mengimbas semula pengalaman dan kenangannya ditahan selama 52 hari di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 28 Oktober, 2017.

TANGGAL 27 Oktober ini genap 30 tahun Operasi Lalang. Pada tarikh itu tiga dekad yang lalu 106 orang ditahan tanpa bicara manakala lesen penerbitan tiga buah akhbar ditarik balik. Episod itu kekal jadi peringatan tentang apa yang boleh berlaku sekiranya tidak ada sistem semak dan imbang. Episod itu meninggalkan parut yang dalam pada jiwa Malaysia. Sebagai mengenang hari itu, The Malaysian Insight menemu bual mereka yang terlibat.

Selama 30 tahun, Dr Chandra Muzaffar membawa dalam dompetnya secebis masa silam daripada episod Operasi Lalang, ke mana-mana saja beliau pergi — sepucuk surat daripada anak perempuannya yang diterimanya ketika dalam tahanan polis.

Kertasnya sudah kuning dan bertompok-tompok dimakan usia, sedikit koyak dengan kesan lipatan yang sangat ketara, tetapi bagi bekas presiden Persatuan Aliran Kesedaran Negara (Aliran) itu, surat tersebut sangat bermakna dan berharga.

Surat dalam bahasa Inggeris itu ditulis oleh anak keduanya, Anisa, yang ketika itu berumur lapan tahun. 

“Dearest Abah, I miss you. I hope you will come back early. I didn’t go to school for 4 days. Every time I pray for your safety. We went on Wednesday but they won’t let us in. We gave you same (sic) things. I hope you got the things. Abah dont (sic) worry, you will be safe.”

(Abah, saya rindu. Saya harap abah pulang segera. Saya tidak ke sekolah 4 hari. Sepanjang masa saya doakan abah selamat. Kami datang pada Rabu tetapi mereka tidak beri kami masuk. Kami bawa sedikit barang untuk abah. Harap abah sudah terima. Abah jangan bimbang, abah akan selamat.)

Selama 30 tahun, Chandra menyimpan surat itu sebagai tanda ingatan kasih sayang dan sokongan keluarga semasa beliau ditahan selama 52 hari di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Selebihnya, surat itu juga jadi tanda cabaran yang beliau terpaksa hadapi dalam perjuangannya demi keadilan, kesaksamaan, dan perpaduan anak semua bangsa.

Tetapi selama 30 tahun ini juga, beliau sudah melupakan episod pahit dikurung bersendirian dan memaafkan mereka yang terlibat menahannya di bawah ISA, termasuk Dr Mahathir Mohamad.

“Tidak ada dendam dalam hati saya. Saya sudah sebut hal ini semasa saya dibebaskan. Tidak ada rasa marah dan kecewa,” kata presiden Pertubuhan Pergerakan Keadilan Sedunia (Just) itu kepada The Malaysian Insight.

Ketika ditahan pada 27 Oktober 1987, Chandra adalah presiden Aliran, sebuah pertubuhan yang memperjuangkan pembaharuan dalam masyarakat.

Aliran ditubuhkan di Pulau Pinang pada 1977 oleh tujuh individu dari pelbagai latar belakang etnik. Dalam tempoh 10 tahun penubuhannya sehingga Operasi Lalang, ia lantang memberikan pandangan yang berbeza dalam beberapa isu menyentuh soal penyelewengan dan salah guna kuasa serta memperjuangkan perpaduan.

Antara isu yang disuarakan oleh Aliran pada masa itu termasuk skandal kewangan Bumiputera Malaysia Finance (BMf) serta kes pencemaran alam sekitar Asia Rare Earth di Perak. Ia juga lantang mempersoalkan pemberian kontrak pembinaan Lebuhraya Utara Selatan kepada Hati Budi, sebuah syarikat pelaburan Umno.

Malah, baru empat tahun selepas ditubuhkan, Kementerian Dalam Negeri melalui Pendaftar Pertubuhan cuba membatalkan pendaftarannya kerana mengkritik kenaikan gaji pegawai kanan kerajaan. Ketika itu, Dr Mahathir belum lagi jadi perdana menteri.

“Mereka menganggap kritikan itu sebagai ancaman terhadap keselamatan dalam negara,” katanya.

Menurut Chandra, sebelum Operasi Lalang, beliau sudah menjangkakan kerajaan akan bertindak terhadap suara-suara lantang berdasarkan kepada perkembangan dan sentimen semasa pada masa itu.

“Dalam satu mesyuarat dengan exco Aliran, sebelum sebelum Operasi Lalang, saya ingatkan rakan-rakan supaya bersiap sedia.

“Saya dapat merasakan kemungkinannya pada masa itu,” katanya.

Chandra mengingatkan tindakan penangkapan beramai-ramai menggunakan ISA terhadap “suara yang berbeza pendapat” bukanlah yang pertama di Malaysia.

“Operasi Lalang bukanlah (penangkapan beramai-ramai) yang pertama tetapi ia berbeza kerana melibatkan lingkungan yang lebih luas,” katanya, merujuk kepada penahanan beberapa tokoh politik di bawah ISA pada 1965 dan 1976.

Dalam Operasi Lalang, selain ahli politik turut ditahan ialah aktivis sosial, pemimpin kesatuan sekerja dan ahli akademik.

Selain Chandra, dua ahli Aliran juga ditahan: Anthony Rogers dan Theresa Lim Chin Chin.

Chandra dibebaskan pada 18 Disember 1987. Beberapa minggu selepas pembebasannya, beliau dan lebih kurang 30 badan masyarakat berhimpun untuk mendesak pembebasan mereka yang masih dalam tahanan.

Berikut adalah petikan wawancara berkenaan:

TMI: Bagaimana Dr ditahan?

Chandra: Pada hari itu, saya bersama isteri dan dua anak perempuan dalam perjalanan pulang ke rumah di Bayan Baru, Pulau Pinang. Saya perasan ada kereta yang mengekori kami.

Lebih kurang pukul 7 petang, ada orang datang ke rumah memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Polis yang datang itu nampak macam segan, malu-malu. Mereka kemudian masuk ke perpustakaan saya dan mengambil beberapa buah buku.

Oleh sebab hari sudah Maghrib, saya beritahu saya mahu sembahyang dahulu. Selepas itu, mereka bawa saya pergi.

TMI: Bagaimana anak-anak yang masih kecil menerima penahanan itu?

Chandra: Anak yang tua, Samira, umurnya dekat 12 tahun, dapat menerimanya. Yang kedua itu, Anisa, umurnya ketika itu lapan tahun. Saya rasa keluarga dapat menerima, terutamanya selepas mereka dapat kebenaran berjumpa dengan saya.

TMI: Kenapa Dr ditahan?

Chandra: Aliran ketika itu merupakan antara kumpulan paling lantang dalam kalangan cendekiawan kelas menengah bandar yang mengkritik beberapa isu semasa. Aliran menjadi simbol pandangan yang berbeza terhadap kerajaan yang sedang berkembang.

Bagi saya, Operasi Lalang bertujuan untuk mengekang suara-suara yang menentang. Saya mengatakan ini juga kerana soalan-soalan yang ditanya kepada saya semasa soal siasat (dalam tahanan).

TMI: Apakah soalan-soalannya?

Chandra: Tentang pandangan berbeza yang tidak mereka senangi. Mereka cuba mengaitkan pandangan yang berbeza itu dengan politik pembangkang. Mereka tidak berjaya.

Saya disoal siasat dua kali oleh Ketua Polis Negara (pada masa itu), Haniff Omar sendiri. Saya dibawa dari tahanan di Pulau Pinang ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan Haniff. Saya tidak tahu orang lain, mungkin ada begitu juga. Saya juga disiasat dua kali oleh Pengarah Cawangan Khas (pada masa itu), Abdul Rahim Noor.

Berdasar soalan-soalannya, saya dapat rasa mereka kurang faham tentang peranan pandangan yang berbeza dalam demokrasi. Dalam demokrasi, kita tidak perlu beri alasan atau kewajaran kenapa orang menyuarakan pandangan yang berbeza secara aman. Itulah yang Aliran lakukan pada masa itu. Kami menganjurkan forum, seminar, menulis rencana dan sebagainya.

Tetapi kerajaan yang kononnya demokratik rasa kurang senang dengan pandangan yang berbeza. Mereka tentunya mengambil serius apa yang kami suarakan, jika tidak kenapa sampai ketua polis negara dan ketua cawangan khas yang menyoal siasat saya.

Maknanya mereka bimbang (walaupun) kami tidak ada sokongan orang ramai atau sokongan daripada parti politik… tidak seperti Bersih hari ini. Kami pada masa itu tidak pun menggerakkan orang ramai. Selain mengambil sikap atas isu-isu tertentu, kami menganjurkan seminar dan forum, menjalin networking… sama seperti kebanyakan pertubuhan masyarakat sivil yang lain.

TMI: Apakah soalan-soalannya secara khusus?

Chandra: Mereka tanya apakah saya tidak hargai apa yang kerajaan lakukan. Itu bukan satu masalah kerana dalam semua kenyataan saya, saya  mengakui perkara baik dan positif yang kerajaan lakukan. Apa yang baik kita alu-alukan, apa yang tidak baik kita kritik. Itulah demokrasi.

Tetapi saya nampak mereka kurang selesa dengan pendapat yang berbeza. Isu keselamatan dan kestabilan digunakan sebagai topeng, untuk mengukuhkan kedudukan mereka yang berkuasa pada masa itu. Itu sangat jelas pada saya.

Saya boleh beritahu sekarang bahawa pada masa itu, semasa dalam tahanan, saya diminta untuk berjumpa dengan Dr Mahathir. Haniff mahu aturkan pertemuan itu. Saya syak Dr Mahathir yang tidak gembira dengan suara-suara yang berlainan dan peranan saya dalam Aliran. Saya ada alasan untuk percaya itulah sebabnya Haniff mahu aturkan pertemuan itu. Tetapi saya tolak.

Saya beritahu Haniff saya tidak boleh berjumpa Dr Mahathir dalam keadaan beliau warganegara yang bebas sedangkan saya sedang ditahan. Dalam erti kata lain, saya bukan dalam keadaan yang wajar untuk membuat keputusan kerana saya sedang ditahan.

Haniff terima alasan saya. Dia kata: “Saya hormat pendirian saudara”. Saya masih ingat kata-katanya itu.

Tidak berapa lama selepas saya dibebaskan, Haniff menganjurkan forum mengenai hak asasi manusia dan saya dijemput sebagai ahli panel.

Surat lusuh tersimpan kemas dalam dompet yang dibawa Dr Chandra Muzaffar ke mana-mana, secebis masa silam daripada episod Operasi Lalang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 28 Oktober, 2017.

TMI: Apakah yang Aliran capai dalam masa 10 tahun antara penubuhannya dan Operasi Lalang?

Chandra: Ada dua perkara. Pertama, kami memberi makna kepada tanggapan tentang pembaharuan sosial. Itulah juga yang menjadi slogan Aliran iaitu sebuah gerakan pembaharuan masyarakat Malaysia. Kami tidak hanya bercakap tentang hak asasi tetapi juga tentang pembaharuan dalam masyarakat.

Sebelum Aliran, ada beberapa pertubuhan yang memberi perhatian khusus kepada isu-isu tertentu seperti alam sekitar dan kepenggunaan seperti  Sahabat Alam Malaysia dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Tetapi Aliran adalah pertubuhan pertama yang mencetuskan idea tentang pembaharuan yang menyeluruh berdasarkan falsafah yang jelas.

Kedua, kami berjaya mengetengahkan suara yang mewakili masyarakat berbilang kaum yang dahagakan pembaharuan. Kami mengambil maklum tentang kepentingan soal kaum tetapi pada masa sama, mengambil sikap yang mewakili semua kaum. Itu tergambar misalnya dalam isu Universiti Merdeka dan negara Islam.

TMI: Apakah kesan Operasi Lalang?

Chandra: Ia membantutkan suara-suara yang berbeza pendapat. Itulah maksud seluruh operasi itu kerana ada akhbar yang digantung penerbitannya. Tetapi suara yang berbeza pendapat tetap ada, apabila ada isu besar orang akan bersuara memberikan pandangan.

Isu besar selepas Operasi Lalang ialah pemecatan Ketua Hakim Negara, Salleh Abas dan krisis Perlembagaan pada 1988. Saya dan beberapa orang termasuk bekas Ketua Audit Negara, Ahmad Nordin bergabung dan menyatakan pandangan tentang tindakan ke atas ketua hakim negara.

TMI: Ada yang mengatakan Operasi Lalang mengubah Dr jadi lebih berlembut kerana selepas itu meninggalkan Aliran, menubuhkan Just International dan menumpukan perhatian kepada isu-isu antarabangsa?

Chandra: Tidak. Saya terus jadi presiden Aliran untuk empat tahun berikutnya. Saya sebenarnya sudah bercadang untuk melepaskan jawatan itu selepas 10 tahun tetapi disebabkan oleh penahanan ISA tersebut saya teruskan sehingga 1991. Mereka yang dalam Aliran tahu saya memang sudah berhasrat untuk melepaskan jawatan dan menyerahkannya kepada orang baru.

Saya masih lantang dalam isu semasa untuk tempoh empat tahun berikutnya, lebih suku daripada seluruh masa saya mengetuai Aliran.  Saya berkempen dalam isu pemecatan Salleh Abas dan kemudiannya pindaan ke atas Akta Rahsia Rasmi.

Memang betul saya tidak begitu terlibat dalam isu tempatan seperti semasa dekat 80-an kerana saya tidak boleh hendak buat kedua-duanya. Ini tidak adil kepada isu-isu berkenaan, kalau kita serius kerana ia melibatkan penyelidikan dan sebagainya. Tetapi saya tidak fikir kita boleh pisahkan isu antarabangsa daripada isu tempatan kerana kedua-duanya saling berkait.

Sehingga sekarang saya masih lantang bersuara mengenai isu perpaduan negara dan integriti. Itu sebabnya juga ada harga yang terpaksa saya bayar kerana mengambil sikap yang lantang tentang skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

TMI: Apakah kita sudah pulih daripada kesan Operasi Lalang?

Chandra: Kayu ukur terbaik ialah media. Sejak 1987, media sudah dijinakkan. Sekarang sudah ada pindaan ke atas undang-undang tentang perlesenan (Akta Mesin Cetak dan Percetakan) tetapi apakah media kini lebih berani? Saya tidak fikir begitu.

Kebanyakan media jadi jinak kerana struktur pemilikannya, kerana editornya berhati-hati dan kerana diminta mengikut telunjuk. Dalam isu yang begitu besar seperti 1MDB, kenapa tidak ada kemarahan umum yang meluas? Saya fikir ini sebahagiannya kerana media.

Media cuba menggambarkannya sebagai pertembungan antara dua individu (Najib Razak dan Dr Mahathir Mohamad) sedangkan ia jauh lebih besar daripada soal personaliti. Saya fikir ia memang sengaja digambarkan begitu.

Dari sudut itu, saya tidak fikir kita belum pulih.

TMI: Bagaimana dengan badan masyarakat?

Chandra: Untuk seketika waktu, mereka berkendur (selepas Operasi Lalang) tetapi saya fikir mereka sudah datang balik. Masyarakat sivil kini semakin lantang. Apatah lagi dengan beberapa perubahan dalam undang-undang antaranya pindaan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti, dan pengenalan Akta Perhimpunan Aman).

Ya, masyarakat sivil masih aktif dan lantang.

TMI: Bagaimana Dr melihat ISA dalam amalan demokrasi?

Chandra: Kita tidak boleh melihat ISA semata-mata sebagai perkara yang menghambat perkembangan demokrasi di negara ini. Ada beberapa faktor lain yang menyebabkan elit kuasa terus berkuasa.

Pertama, kelompok yang berkuasa masih berpegang kuat pada politik kawalan apabila segala-galanya mahu dikawal — universiti, media dan sebagainya. Kedua, kedudukan sosio ekonomi kelas menengah dan kelas bawahan menyebabkan mereka bergantung kepada kelompok yang berkuasa, bergantung untuk mendapatkan sesuatu. Ketiga, dari segi sosio budaya, kita ini masyarakat yang cukup menghargai nilai setia.

Tetapi biar apapun, ISA dan undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara tetap tidak boleh kita terima.

Muka depan akhbar The Star pada 28 Oktober 1987 yang memaparkan individu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri termasuk Dr Chandra Muzaffar (nombor dua dari kiri). – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2017.

TMI: Perlukah Dr Mahathir meminta maaf?

Chandra: Tidak ada apa gunanya untuk Dr Mahathir meminta maaf. Adalah lebih baik sekiranya Dr Mahathir bermuhasabah, melihat dirinya sendiri dan seluruh kariernya dan apa yang telah beliau lakukan.

Bahawa seseorang boleh menukar pendiriannya seperti menukar baju, tanpa melalui proses muhasabah, ini sangat mengganggu saya. Tidak ada usaha menilai dirinya sendiri, dan dengan kritikal melihat apa yang sudah beliau lakukan (semasa jadi perdana menteri) bukan saja tentang ISA — yang sememangnya tidak bermoral — tetapi atas hal-hal lain juga.

Misalnya Proton. Beliau diberitahu projek itu tidak berjaya tetapi beliau tidak mempedulikan pandangan orang. Begitu juga dengan tindakannya membenarkan kemasukan pekerja asing, yang kini memberikan kesan kepada masyarakat. Begitu juga dengan Projek IC di Sabah yang mengubah demografi dan memberikan kesan jangka panjang.

Itu maksud saya dengan muhasabah. Bukan Dr Mahathir saja; Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim juga harus merenung diri, harus bermuhasabah.

Proses muhasabah ini penting bagi semua orang. Sedih, muhasabah ini bukan amalan dalam politik di negara kita.

Tetapi untuk berlaku adil kepada Dr Mahathir, beliau ini seorang yang sangat kompleks. Tiadanya muhasabah ini adalah sebahagian daripada kompleksiti itu. Tetapi pada masa sama, amalan merenung diri sendiri dan muhasabah bukan sesuatu yang lazim dalam suasana persekitaran dan masyarakat, tidak seperti di Jepun, misalnya. Orang jarang letak jawatan atau minta maaf kalau berbuat silap.

TMI: Apakah itu cukup untuk jadi penyelesaian episod ini?

Chandra: Ya, kerana muhasabah itu akan datang ikhlas dari hati.

TMI: Dr sendiri bagaimana? Apakah sudah memaafkan semuanya?

Chandra: Tidak ada dendam dalam hati saya. Saya sudah sebut hal ini semasa saya dibebaskan. Tidak ada rasa marah dan kecewa.

Saya ada beberapa kali berhubung dengannya (Dr Mahathir) selepas itu. Pendirian saya tentang ISA tetap sama, sedikit pun tidak berubah. Tetapi atas beberapa isu kemanusian antarabangsa seperti Bosnia dan Palestin, saya tidak ada masalah menyokong beliau. Tidak jadi isu pada saya.

Ada orang yang mungkin mahu membawa luka masa lalu itu sampai sekarang, dan sampai ke masa depan. Saya tidak fikir itu caranya. – 28 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen