Hanya 3 ahli Parlimen BN isytihar harta pada Speaker


Diyana Ibrahim

Semua 138 ahli Parlimen Pakatan Harapan sudah isytihar harta apabila tempoh itu berakhir hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2019.

HANYA tiga ahli Parlimen BN mengistiharkan aset kepada Speaker Dewan Rakyat sehingga tempoh yang ditetapkan berakhir hari ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong.

Tiga ahli Parlimen BN itu terdiri daripada dua wakil rakyat Umno dan seorang dari MCA, katanya ketika bercakap kepada wakil media di lobi Parlimen.

“Rekod saya tunjuk semua ahli Parlimen Pakatan Harapan telah pun mengisytiharkan deklarasi aset kepada Speaker.

“Dan BN cuma tiga orang termasuk seorang daripada MCA,” katanya yang enggan mendedahkan nama wakil rakyat terlibat.

Katanya lagi nasib ahli Parlimen lain yang belum berbuat demikian akan ditentukan oleh Speaker.

Menteri hal ehwal undang-undang itu menegaskan, kegagalan ahli Parlimen mengistiharkan aset mereka boleh dianggap menghina dan tidak menghormati usul yang diputuskan dalam Dewan Rakyat.

“Ya sudah tentu sebab ini usul mereka tak menghormati jadi ini menghina. Usul ini diluluskan ahli Dewan juga,” katanya.

Beliau pada minggu lalu menyebut, Speaker berkuasa untuk mengheret ahli Parlimen ke jawatankuasa hak dan kebebasan, menggantung ahli terbabit dari persidangan atau mengenakan denda.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga menyerahkan kepada Speaker untuk bertindak terhadap wakil rakyat yang masih gagal mengisytihar aset.

Ketua Pesuruhjaya Latheefa Koya berkata SPRM hanya bertindak sebagai pemantau pengisytiharan aset, namun tiada kuasa untuk mengambil tindakan.

Dewan Rakyat pada 28 November lalu melanjutkan tarikh akhir pengisytiharan harta kepada 5 Disember.

Butiran aset yang diisytihar itu dipamer di portal SPRM. – 5 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen