Golongan sederhana terima manfaat cukai lebih rendah, pengecualian hasil sewa


Gan Pei Ling

Insentif yang diberikan kepada golongan pertengahan dijangka memberi pertambahan pendapatan sebanyak RM1.5 bilion yang boleh dibelanjakan oleh rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2017.

BERBEZA dengan tahun-tahun terdahulu, banyak insentif kepada golongan berpendapatan sederhana bermula dengan potongan cukai sebanyak 2% bagi pendapatan bercukai dalam Bajet 2018.

Menjelang pilihan raya umum, yang perlu diadalan sebelum Ogos tahun depan, rakyat Malaysia berpendapatan antara RM20,001 hingga RM70,000 berpeluang mempunyai pendapatan lebih guna pada tahun depan.

“Langkah ini akan meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat antara RM300 hingga RM1,000.

“Dianggarkan pendapatan tambahan sebanyak RM1.5 bilion boleh dibelanjakan oleh rakyat,” kata Najib di Dewan Rakyat semalam.

Beliau tidak menyatakan berapa ramai rakyat Malaysia yang berada dalam tiga lingkungan pendapatan semasa berucap pada pembentangan bajet.

Inilah kali pertama cukai peribadi dikurangkan sejak kerajaan melancarkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 2015.

Dalam Bajet 2015, kerajaan mengurangkan antara 1% hingga 3% cukai peribadi bagi semua penghasilan pendapatan dengan kadar cukai maksima sebanyak 25%.

Bagaimanapun, tiada lagi pengurangan dalam tempoh dua tahun akan datang yang dilanjutkan sehingga 28% pada 2016.

Ketua Percukaian PricewaterhouseCoopers Malaysia, Jagdev Singh berkata beliau menjangkakan pengurangan kadar cukai peribadi selepas pelaksanaan GST pada 2015.

“Bagaimanapun, tiada perubahan kepada pelepasan sedia ada,” katanya.

Manfaat lain yang disasarkan kepada kumpulan berpendapatan 40% sederhana (M40) – berpendapatan antara RM3,860 dan RM8,319 – adalah pengecualian cukai 50% untuk pendapatan sewa.

Ini akan menjimatkan maksimum pendapatan sewa sebanyak RM2,000 sebulan untuk tiga tahun taksiran cukai berikutnya.

Ibu bapa bekerja bagi kelas pertengahan juga dijangka menyambut langkah membolehkan mereka mengambil pembantu rumah dari sembilan negara tanpa ejen.

Bagaimanapun, sembilan negara itu tidak disebut dalam ucapan belanjawan.

Wanita yang bekerja di sektor swasta juga akan dapat menikmati cuti bersalin 90 hari seperti pekerja sektor awam mulai tahun depan dalam pembentangan Bajet 2018 semalam. – Gambar fail EPA, 28 Oktober, 2017.

Najib berkata ini adalah sebahagian dari rancangan kerajaan untuk mengurangkan kos pengambilan pekerja domestik asing, yang boleh mencecah sehingga antara RM12,000 hingga RM18,000 bagi setiap pekerja.

Wanita yang bekerja di sektor swasta juga akan dapat menikmati cuti bersalin 90 hari seperti pekerja sektor awam mulai tahun depan, kata Najib selepas mengisytiharkan 2018 sebagai “Tahun Memperkasakan Wanita” semasa ucapan belanjawan.

Kerajaan juga mewajibkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan badan berkanun mempunyai sekurang-kurangnya 30% wakil wanita dalam lembaga pengarah mereka menjelang akhir 2018.

Wanita yang kembali menyertai tenaga kerja pada 2018 hingga 2020 selepas berehat sekurang-kurangnya dua tahun akan menikmati pengecualian cukai pendapatan peribadi selama 12 bulan berturut-turut, tambah Najib.

Sementara itu, pekerja GLC juga akan menerima manfaat daripada beberapa faedah termasuk perkongsian keuntungan melalui pembayaran gaji dan elaun secara beransur-ansur dan masa bekerja fleksibel.

Jagdev menggambarkannya sebagai “langkah berani” yang “selaras dengan langkah beransur-ansur Malaysia daripada negara membangun kepada ekonomi maju berorientasikan perkhidmatan”.

“Beberapa inisiatif, seperti mewajibkan kemudahan penjagaan kanak-kanak di bangunan pejabat baru tentu akan menyediakan persekitaran menggalakkan bagi ibu-ibu kembali bekerja dan menyumbang ke arah pembinaan negara,” katanya.

GLC kini dijangka menyediakan pusat jagaan kanak-kanak di pejabat utama mereka, waktu kerja lebih pendek bagi pekerja hamil dan meningkatkan latihan kepada kakitangan termasuk menyediakan bantuan pendidikan untuk anak-anak mereka.

Faedah lain untuk pekerja GLC dalam bajet termasuk pilihan menggantikan cuti tahunan dan perubatan dengan wang tunai, dan cuti mengerjakan umrah. – 28 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen