Hati-hati dengan pengkhianat, kata ketua Pemuda Umno


SM Amin

Ketua Pemuda Umno Malaysia, Asyraf Wajdi Dasuki berkata ada individu ingin kembali selepas melihat Umno berjaya menstruktur semula parti dan berjaya memenangi beberapa PRK. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2019.

PEMUDA Umno mengingatkan parti itu supaya berhati-hati dengan individu yang mahu kembali selepas meninggalkan parti ekoran kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketua Pemuda Umno Malaysia, Asyraf Wajdi Dasuki berkata individu itu kini kembali selepas melihat Umno berjaya menstruktur semula parti dan berjaya memenangi beberapa pilihan raya kecil (PRK).

Katanya, beliau melihat individu yang sebelum ini hanya berdiam diri kini mula aktif dalam parti dan terdapat segelintir yang berusaha untuk kembali menjadi pemimpin dalam parti.

“Makin ramai yang dulunya mengkhinati sehingga terjun meninggalkan parti, hari ini diam-diam sudah kembali, bahkan ada yang sudah pasang kaki, mengatur strategi untuk merebut pelbagai posisi dalam parti.

“Orang seperti ini Pemuda ingin ingatkan. Pelanduk mungkin selalu melupakan jerat, namun jerat tidak sesekali lupa pada pelanduk,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di PWTC hari ini.

Enam ahli Parlimen parti itu meninggalkan parti selepas Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2018, diikuti 13 wakil rakyat Umno daripada Sabah tidak lama selepas itu yang kemudiannya menyertai Bersatu.

Asyraf seterusnya mengingatkan ahli Umno supaya tidak berasa selesa dengan kemenangan-kemenangan yang dikecapi Barisan Nasional (BN) dalam siri PRK tahun ini.

“Benar kita telah menang. Namun bacalah isyarat yang tersirat. Rakyat tidak mahu kita alpa. Rakyat tidak mahu kita sombong.

“Rakyat pastinya tidak mahu kita lupa daratan hingga sesama sendiri kembali bercakaran dan berantakan. Rakyat tentu sekali mahu kita muhasabah dan terus memperbaiki parti,” katanya.

Beliau juga menyeru perwakilan dan ahli Umno supaya tidak menafikan hak kaum dan agama lain yang turut terkandung dalam perlembagaan walaupun orang Melayu menjadi induk.

Jelasnya, kejayaan hubungan politik antara kaum adalah kerana kesediaan Umno menerima kaum lain sebagai warganegara yang sama tarafnya dengan orang Melayu.

“Tiada lagi istilah pendatang kerana Malaysia ini sudah diperakui milik semua. Semuanya ada tanggungjawab sebagaimana yang dimaktubkan dalam perlembagaan persekutuan.

“Konsep keindukan ini tidak menjadikan Umno sebagai tuan kepada parti lain tetapi meletakkan Umno sebagai pemimpin yang menentukan identiti sebenar kepada wajah Malaysia yang asal,” ujarnya. – 5 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen