Bajet untuk pendidikan dipuji 


Low Han Shaun

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Profesor Mohamad Ali Hassan berkata bajet ini berjaya menyediakan peruntukan dana bagi semua peringkat dalam sektor pendidikan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 27 Oktober, 2017.

KUMPULAN pendidikan gembira apabila Bajet 2018 memberi peruntukan kepada Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Harry Tan Huat Hock berkata ini akan membantu memajukan negara dari bidang inovasi dan produktiviti.

“Untuk negara maju ke hadapan, kita perlu ada jurutera, yang boleh mereka cipta, dan STEM juga TVET melatih mereka ini bukan saja mencipta, tetapi mengekalkan ciptaan. Jadi, negara berada di landasan yang betul,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kerajaan, dalam Bajet 2018 mengumumkan peruntukan sebanyak RM40 juta untuk pusat STEM bagi melatih guru-guru dengan kerjasama dari Akademi Sains Malaysia (ASM) dan memperbaiki subjek sains, yang tidak termasuk dalam Bajet 2017.

Bagi Pelan Induk TVET Malaysia, Bajet 2018 memperuntukkan RM4.9 bilion untuk melaksanakannya, berbanding  RM4.6 bilion dalam Bajet 2017.

Kata Tan lagi, kesatuan itu gembira kerana bajet menambah cuti khas bagi pegawai pendidikan dari 7 ke 10 hari setahun selepas menyuarakannya selama lebih 10 tahun.

“7 hari tidak cukup. Macam bila anak sakit, atau kami perlu menghadiri majlis konvokesyen anak.

“Anda boleh katakan guru bercuti ketika cuti sekolah, tetapi sebenarnya mereka tak bercuti.

“Kami perlu jaga sekolah, contohnya semasa SPM, guru menjadi pengawas peperiksaan, perlu menanda kertas dan seminggu sebelum sekolah dibuka guru perlu melaporkan diri supaya kelas boleh bermula apabila murid kembali ke sekolah,” katanya.

Setiausaha Kehormat Kumpulan Tindakan Ibu Bapa Demi Pendidikan (PAGE) Tunku Munawirah Putra berkata Bajet 2018 itu sejajar dengan permintaan PAGE.

“Kami gembira tentang pendidikan STEM dan peruntukannya serta Akademi Sains Malaysia (ASM) diberi pengiktirfan untuk memacu aspirasi STEM.

“ASM bekerja keras untuk ini. Mereka mengetuai pedagogi sains ini di beberapa sekolah rendah. Kami tahu kerana PAGE berada dalam jawatankuasa ASM,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau juga berkata PAGE gembira Bajet 2018 memperuntukkan lebih banyak dana untuk mempertingkatkan pendidikakn tinggi di Malaysia.

“Kami melihat kepada keseluruhan peruntukan belanjawan untuk pendidikan. Ia adalah bajet untuk pendidikan terbesar setakat ini dan sebahagian besarnya untuk pendidikan tinggi dan semua biasiswa.”

Untuk program latihan SL1M terutamanya, beliau berkata ia adalah cara yang baik untuk membangunkan generasi muda.

“Kerana akhirnya, belanjawan sepatutnya turut memberi manfaat kepada generasi masa depan. Jadi, kita mesti optimis tentang negara, kita tak mahu memikirkan keburukan rasa curiga yang belanjawan ini tidak akan berfungsi,” katanya.

Bajet 2018 memperuntukkan RM40 juta untuk program perantisan SL1M.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Profesor Mohamad Ali Hassan berkata bajet ini berjaya menyediakan peruntukan dana bagi semua peringkat dalam sektor pendidikan.

“Bajet tidak hanya meneruskan apa yang telah dijanjikan sebelum ini (misalnya kumpulan sasaran Bantuan sekolah RM100, baucer buku RM250 dan peruntukan untuk sekolah yang berbeza), namun terdapat beberapa penambahbaikan di dalamnya.

Pembayaran semula pinjaman PTPTN mislanya, dan peruntukan untuk STEM dan TVET,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bajet 2018 memperuntukkan RM61.6 bilion untuk pendidikan. Berbanding tahun lepas, peruntukan baharu ini adalah untuk STEM, SL1M dan Sistem Binaan Berindustri (RM2.5 bilion) bagi kerja-kerja membaiki sekolah dan pengenalan biasiswa baharu, Biasiswa Kecil Persekutuan. – 27 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen