KEPIMPINAN Melayu di Malaysia pada masa akan datang perlu diterajui oleh mereka yang bermoral, selain mempunyai pemikiran dan karisma luar biasa, kata Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.
Berucap kepada tiga sayap Umno, Mohamad berkata pentadbiran negara yang diterajui oleh pemimpin yang bermoral akan menjadikan Malaysia negara maju, selain menjadi teladan kepada rakyat.
Mohamad tidak menyebut dengan jelas moral yang beliau maksudkan tetapi memberi kiasan “kambing pun tahu yang mana kambing jantan.”
“Namun semenjak beberapa ketika kebelakangan ini, krisis moral dalam kepimpinan bangsa kita menjadi semakin membarah,” katanya ketika berucap merasmikan perhimpunan agung tahunan tiga sayap Pemuda, Wanita dan Puteri di Kuala Lumpur, malam tadi.
“Negara ini, tidak boleh dipimpin, walau sesaat dan sedetik, oleh mereka yang wibawanya diragui.
“Malaysia selayaknya memerlukan pimpinan Melayu yang lebih adil dan murni, rendah diri dan soleh,” tambahnya.
Sehubungan itu, Mohamad meminta sayap-sayap Umno supaya mencungkil bakat baru untuk dilatih sebagai pemimpin masa depan parti.
Jelasnya, Umno selama ini terlalu mengambil mudah usaha melahirkan pemimpin pelapis yang memiliki kemahiran, perspektif dan kemampuan untuk memimpin.
“Kerisauan paling besar dan mendalam dalam diri saya ialah, kepada siapa parti ini harus kita wariskan.
“Kerja berat kita, sebagai sebuah pergerakan politik Melayu ialah untuk melahirkan kepimpinan pelapis iaitu mereka yang benar-benar boleh memimpin tanah air Malaysia ini, bukan sekadar bangsa kita dan parti sahaja,” ujarnya.
Tambah Mohamad, kelemahan tersebut disebabkan kepimpinan sedia ada rasa tercabar atau terancam dengan mereka yang lebih bijak dan lebih layak.
Tiga sayap Umno akan bersidang sehari esok sebelum Perhimpunan Agung Umno dibuka dengan ucapan dasar Presiden Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat dan berlangsung sehingga Ahad. – 4 Disember, 2019
Komen