SESETENGAH inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri Najib Razak hari ini sudah pun diperkenalkan di Selangor, kata Menteri Besar Azmin Ali selepas pembentangan Bajet 2018 di Dewan Rakyat.
Sebagai contoh, pengenalan ADAM50, skim yang memberikan simpanan asas RM200 bagi bayi rakyat Malaysia yang lahir dari 1 Januari, 2018 hingga 2002 menerusi Skim Unit Amanah PNB hampir sama dengan TAWAS, program yang diperkenalkan oleh Selangor pada 2008.
“Kami perkenalkan dana yang sama beberapa tahun lalu dan kini perdana menteri ikut jejak langkah kami dengan memperkenalkan ADAM50.
“Kami sudah perkenalkan BRAIN BANK dan kini perdana menteri perkenalkan MYBRAIN di peringkat nasional,” katanya.
Azmin yang juga ahli Parlimen Gomba mengkritik kerajaan kerana memberikan “peruntukan kecil” kepada Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan berkata Selangor akan membelanjakan hampir 10 kali lebih banyak untuk melonjakkan TVET.
“Saya terkejut peruntukan hanya RM4.5 juta. Bagaimana kita hendak latih belia kita dengan kemahiran dan bakat yang diperlukan untuk memenuhi permintaan dalam industri?
“Hanya RM4.5 juta diberikan sementara Selangor peruntukkan RM50 juta,” katanya.
Beliau juga mempersoalkan bagaimana kerajaan hendak merangsang ekonomi bila perbelanjaan operasi 84% daripada bajet.
Mengenai langkah kerajaan memansuhkan dua tol di Selangor, Azmin berkata ia “kemenangan” untuk rakyat Selangor.
“Saya ingin ucapkan tahniah kepada rakyat Selangor atas keberanian mereka memperjuangkan hak mereka.
Pemansuhan tol itu habuan untuk mereka selepas bertahun-tahun berjuang. Kerajaan persekutuan akhirnya tunduk kepada rakyat Selangor,” katanya. – 27 Oktober, 2017.
Komen