LEBIH 112,000 peneroka Felda akan menerima manfaat dari enam insentif utama yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2018 hari ini termasuklah bayaran khas RM5,000.
Perdana Menteri Najib Razak turut mengumumkan beberapa lagi manfaat kepada peneroka, yang menduduki di 54 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia dan membentuk populasi 1 juta orang termasuk ahli keluarga mereka.
Di bawah Bajet 2018, Putrajaya akan membayar balik wang yang dibayar oleh peneroka untuk penanaman semula dari getah hingga kelapa sawit antara 2010 hingga 2016.
“Ini akan memberi manfaat kepada 8,925 peneroka Felda dengan peruntukan sebanyak RM43 juta, kata Najib pada pembentangan Bajet 2018 di Parlimen, hari ini.
Antara faedah lain adalah peruntukan RM164 juta untuk membina rumah generasi kedua peneroka Felda, dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
RM60 juta juga turut diberikan kepada mereka yang terlibat dalam program penanaman semula kelapa sawit, dan RM200 juta untuk menaik taraf sistem bekalan air, jalan raya dan jalan kecil di penempatan Felda.
Dalam maklum balas segera, kumpulan yang mewakili anak-anak peneroka Felda, Suara Generasi Ke-2 Felda (SGK2F), berkata mereka mengalu-alukan pemberian kerajaan yang bermurah hati dalam menjaga kebajikan peneroka.
“Dengan pengumuman ini menunjukkan kerajaan mengambil berat tentang kebajikan rakyat dan kami amat mengalu-alukannya (pemberian manfaat) dan amat menghargainya,” kata kumpulan berkenaan. – 27 Oktober, 2017.
Komen