DAP Sarawak mengkritik Perdana menteri Najib Razak kerana gagal menyentuh isu royalti minyak dan autonomi yang melanda negeri Malaysia Timur.
Pada pembentangan tiga jam Bajet 2018, Najib mengumumkan RM4.5 bilion peruntukan pembangunan luar bandar kepada Sabah dan Sarawak, termasuk peruntukan pembangunan Lebuhraya Pan Borneo, jambatan dan infrastruktur komunikasi.
Beliau bagaimanapun tidak menyentuh mengenai isu royalti negeri Borneo itu yang meminta ia dinaikkan dari 5% kepada 20%.
“Semangat dalam pembentangan bajet kali ini menunjukkan kerajaan BN tidak serius untuk mengembalikan semula autonomi negeri dan desentralisasi fiskal,” kata jurucakap DAP Sarawak Dr Kelvin Yii.
Yii, yang juga pembantu khas pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata, ia tiada langsung menyentuh mengenai pengembalian 20% royalti minyak walaupun satu resolusi telah diluluskan pada sidang Dun Sarawak pada Mei, 2014.
“Tiada tanda-tanda untuk pengembalian pendapatan yang diperlukan untuk menjalankan jabatan pendidikan dalam permintaan kepada autonomi yang lebih baik dalam negeri ini,” kata Yii dalam satu kenyataan hari ini.
Yii juga menyatakan peruntukan itu diberikan bagi pembangunan kawasan luar bandar terutamanya infrastruktur, telekomunikasi dan subsidi elektrik.
Bagaimanapun, terdapat penurunan pada peruntukan untuk lebuhraya berbanding peruntukan RM16 bilion pada 2016/2017 kepada RM2 bilion pada 2017/2018 dengan justifikasi bahawa semua pakej sudah diedarkan dan bayaran sudah dibuat pada tahun sebelumnya.
“Persoalan yang perlu dibangkitkan sama ada semua peruntukan sebelum ini daripada bajet sebelum ini termasuk RM16 bilion yang dijanjikan untuk Pan Borneo tahun lalu sampai kepada kontraktor yang dilantik,” katanya.
Yii merujuk kepada jejambat yang dijadualkan untuk dibina pada laluan 7 batu ke Kuching, 6.5 batu (Kuching Sentral) dan 4.5 batu yang merupakan sebahagian daripada projek Pan-Borneo dan sepatutnya memulakan pembinaan pada Jun ini, tetapi masih belum dimulakan.
“Realitinya adalah kerajaan BN tidak serius dalam mengembalikan kuasa autonomi kepada negeri. Mereka lebih berminat untuk memberikan hadiah jangka pendek bagi memenangi pilihan raya dan mengorbankan kepentingan jangka panjang Sarawak.”
Sementara itu Yii berkata, untuk memansuhkan tol di Selangor, Kedah dan juga Johor menaikkan lagi tahap keyakinan kerajaan BN memandangkan kewujudan pembangkang di negeri itu terutamanya di Kedah dan Johor.
“Kerajaan BN dilihat cuba mengambil tentangan secara terus di negeri ini yang mana ramai yang meramalkan ia akan menjadi medan pertarungan yang sengit pada pilihan raya.” – 27 Oktober, 2017.
Komen