SELEPAS lebih setahun cuba bertapak sebagai parti pembangkang buat pertama kalinya, Umno memulakan perhimpunan agung keduanya hari ini, dalam suasana yang lebih baik berbanding tahun lalu kerana masih terkejut dengan kekalahan pada PRU14.
“Saya rasa suasana kali ini lebih baik berbanding tahun lalu apabila kita baru sahaja kalah pada pilihan raya umum ke-14,” kata Ketua Pembangkang yang juga Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob kepada The Malaysian Insight.
“Kita telah memenangi beberapa pilihan raya kecil sejak itu - Semenyih, Cameron Highlands, Rantau dan Tanjung Piai - dan suasana kini dirasakan sangat baik.
“Semangat kita semakin baik dan keyakinan beransur kembali,” kata Ismail Sabri pada wawancara menjelang Perhimpunan Agung Umno yang bermula hari ini sehingga Sabtu.
PAU tahun lalu diadakan pada Jun, sebulan selepas pilihan raya 9 Mei yang memberi kesan kepada parti Melayu itu selepas kehilangan kuasa kerajaan persekutuan.

Ia turut kehilangan Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah, Terengganu dan Johor. Umno turut kalah 34 kerusi Parlimen pada pilihan raya lalu.
Sejak PRU14, Umno kehilangan lebih ramai wakil rakyatnya kerana pembelotan, yang mana segelintir daripada mereka menyertai Bersatu.
Umno kini memiliki 38 kerusi Dewan Rakyat, menurun daripada 55 kerusi yang dimenangi pada PRU14.
Ismail Sabri yang juga ahli Parlimen Bera berkata, tiada siapa yang menyangka Umno akan kalah.
“Tiada siapa pun, terutamanya dalam Umno. Kami merasakan kami boleh memang kerana banyak yang telah kami lakukan untuk rakyat. Dan saya percaya rakyat akan menerimanya.
“Tetapi kami tidak jangkakan isu nasional akan tenggelamkan apa yang telah kami lakukan sebagai wakil rakyat.
“Kami sangka dengan memberikan sesuatu kepada rakyat, mereka akan gembira dan isu lain tidak akan jadi keutamaan. Namun pengundi telah berubah,” katanya pada sesi temubual di pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen baru-baru ini. – 4 Disember, 2019.
Komen