Tiada slot untuk Najib pada perhimpunan agung Umno


Ravin Palanisamy Chan Kok Leong

Bekas perdana menteri Najib Razak tidak memerlukan slot khas untuk membuktikan popularitinya pada perhimpunan agung Umno.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2019.

GELARAN “Bossku” mungkin popular bagi penyokong Melayu di peringkat akar umbi, namun bekas perdana menteri yang juga bekas presiden Umno itu tidak akan diberikan sebarang slot khas untuk berucap kepada perwakilan pada perhimpunan agung parti itu yang ke 73, yang bermula hari ini.

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob memberitahu The Malaysian Insight, Najib Razak yang kini pengerusi lembaga penasihat Barisan Nasional, masih popular dalam parti dan dalam kalangan masyarakat.

Najib yang kini hanya memegang jawatan ketua Umno Bahagian Pekan, kini “lebih mudah didekati” tanpa sebarang formaliti dan butiran keselamatan yang perlu diambil kira ketika menjadi perdana menteri.

Malah, beliau menjadi aset kepada Umno, dengan slogan “Bossku” yang memberi peluang baik ketika berkempen pada pilihan raya kecil sebelum ini.

Namun semua itu tidak cukup untuk Najib, yang kini berdepan perbicaraan atas pelbagai pertuduhan melibatkan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan 1Malaysia Development Berhad, diberikan peluang untuk menyampaikan ucapan kepada penyokongnya dalam Umno.

“Tidak, Najib tidak akan berucap ada perhimpunan. Ucapan hanya diberikan oleh perwakilan, presiden dan timbalan presiden. Penggulungan juga turut dibuat oleh presiden dan timbalan,” kata Ismail kepada The Malaysian Insight.

“Sebelum ini, penggulungan biasanya dibuat oleh ketua sayap dan tiga naib presiden.

“Ketika itu, naib presiden adalah menteri. Jadi, apabila kita berucap, ia bukan hanya retorik politik tetapi cadangan bagaimana untuk menambah baik kementerian. Kini kami bukan lagi kerajaan, jadi ia tidak perlu lagi.”

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berkata bekas perdana menteri Najib Razak masih lagi popular dalam parti dan masyarakat di negara ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 4 Disember, 2019.

Perwakilan juga diberikan lebih banyak masa untuk berucap pada perhimpunan kali ini, tambah Ismail Sabri.

Beberapa hari selepas kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu, Najib meletakkan jawatan sebagai pengerusi BN dan presiden Umno.

Walaupun masa depan Umno kelam, dan nasionalis parti Melayu itu dilihat terumbang ambing seketika. Bukan Najib sahaja pemimpin yang berdepan pertuduhan rasuah. Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung Tengku Adnan Tengku Mansor turut berdepan masalah yang sama.

Tetapi, walaupun berdepan tuduhan rasuah, populariti Najib diihat semakin meningkat bermula tahun ini, selepas beliau menggunakan slogan yang popular dalam kalangan mat motor “Malu Apa Bossku” dan menjadikan ia sebagai slogannya.

Najib menggunakan slogan itu ketika berkempen pada pilihan raya kecil dan ketika mengadakan sesi jelajah ke negeri dan kawasan luar bandar. Setakat ini, sejak PRU14, BN telah memenangi empat daripada sembilan pilihan raya kecil.

Umno juga kini dalam proses pemulihan, hasil pakatan dengan pesaingnya sebelum ini PAS, yang dipanggil Muafakat Nasional, bagi memastikan dua parti itu tidak lagi bersaing untuk memperoleh undi Melayu Islam tetapi bekerjasama untuk tumbangkan kerajaan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang.

Najib bagaimanapun tidak memerlukan slot khas untuk membuktikan popularitinya pada perhimpunan agung Umno, yang akan bermula esok hingga Sabtu di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Ismail Sabri menjangkakan bekas presiden itu masih menarik perhatian hanya dengan kehadirannya sahaja.

“Lihat bagaimana sambutan ketika beliau buat siri jelajah ‘Bossku’, ia sangat baik. Ke mana sahaja beliau pergi, beliau terima maklum balas yang baik terutamanya daripada mereka dalam kalangan Umno.

“Sebelum ini sukar untuk mendekati Najib kerana beliau perdana menteri tapi kini semua orang boleh berselfie dengannya.

“Jadi, walaupun beliau tidak beri ucapan, rakyat masih datang ke perhimpunan kerana mereka mahu temui beliau.” – 4 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen