KUMPULAN masyarakat sivil mempersoalkan keputusan Putrajaya menangguhkan perbahasan dan pengundian Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC), sama ada polis benar-benar berminat melakukan pembaharuan dalam pasukan keselamatan negara itu.
IPCMC tidak lagi boleh ditangguhkan kerana ia RUU penting bagi menjamin kebertanggungjawapan, ketelusan, integriti dan menghormati hak asasi manusia, tambah mereka.
Kegagalan menjayakan RUU tersebut hanya memburukkan lagi keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada polis, kata Pengarah Lawyers for Liberty (LFL) Melissa Sasidaran.
LFL kecewa dengan pelbagai bantahan dibangkitkan pihak polis terhadap RUU itu, kerana ia jauh berbeza dengan janji diberikan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador ketika menjawat jawatan Mei lepas, tambahnya.
“Ia mendedahkan kebenaran sebenar, yang polis tidak pernah serius tentang kebertanggungjawaban, ketelusan dan berkhidmat untuk negara dengan integriti dan menghormati hak asasi manusia.
“Tiada negara yang usaha pertama mengembalikan keyakinan rakyat kepada polis berjalan dengan mudah, tetapi jika tidak ada kesungguhan politik sekarang, bila lagi hendak buat?” katanya kepada The Malaysian Insight.
Putrajaya hari ini menangguhkan bacaan kali kedua dan ketiga RUU itu yang membolehkan ia dibahaskan dan diundi ahli Parlimen untuk pembentukan sebuah suruhanjaya bebas menyiasat dan mengendalikan tindakan tatatertib berkaitan kes salah laku polis.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata penangguhan itu dibuat kerana RUU itu yang mendapat tentangan hebat polis dan pembangkang perlu diperkemaskan lagi.
Laporan RUU IPCMC oleh Jawatankuasa Pemilihan Parlimen juga sepatutnya dibentangkan hari ini, tetapi tertangguh kerana bacaan kedua dan ketiga tidak dilakukan.
Laporan itu meneliti 37 cadangan pindaan yang dibuat berdasarkan hasil rundingan dengan pihak berkepentingan.
LFL juga mempersoalkan tindakan beberapa wakil rakyat Pakatan Harapan yang berdiam diri dalam isu itu, walaupun ada antara mereka pernah menjadi mangsa salah laku polis. – 3 Disember, 2019.
Komen