Tangguh RUU IPCMC bukan 'last minute', kata menteri


Diyana Ibrahim

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata penangguhan bacaan kali kedua RUU IPCMC sudah lama dibincangkan kerana ia perlu diperhalusi lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Disember, 2019.

KEPUTUSAN kerajaan menangguhkan Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) daripada dibahaskan di Dewan Rakyat bukan dibuat pada saat terakhir, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong.

Katanya, penangguhan bacaan kali kedua itu sudah lama dibincangkan dengan Jemaah Menteri dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh kerana ia perlu diperhalusi lagi.

“Kita telah bincang dengan semua pihak berkenaan, dengan pengerusi jawatankuasa khas (Ramkarpal), dengan pihak jemaah menteri juga… jadi kita buat  keputusan untuk terus perbincangan (dengan pihak berkepentingan),” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Liew mengulas mengenai keputusan Putrajaya menangguhkan RUU yang akan membawa kepada penubuhan IPCMC.

Semalam Liew memberitahu wartawan Ramkarpal selaku Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang akan membentangkan laporan pihaknya mengenai penubuhan IPCMC kepada Dewan Rakyat hari ini.

Susulan penangguhan oleh kerajaan, Speaker Mohamad Ariff Md Yusof berkata tiada keperluan untuk Ramkarpal meneruskan pembentangan laporannya.

Ditanya alasan penarikan Liew berkata kerajaan mendapati ada keperluan untuk memperhalusi semula RUU tersebut.

“Kerajaan dapati bahawa ada keperluan untuk halusi selanjutnya dan tubuhkan peraturan- peraturan berkaitan dengan perjalanan prosiding berkaitan peraturan pegawai awam. 

“Perkara ini  penting bagi mudahkan pelaksnaan akta ni bila diluluskan kelak,” katanya.

Dalam satu sidang media berasingan, Ramkarpal sebelum itu berkata beliau hanya dimaklumkan mengenai penangguhan itu pagi tadi.

“Saya hanya dimaklumkan pagi ini. Apa yang saya tahu tugas saya hanya untuk bawa laporan tersebut ke Parlimen.

“Kita sudah menyiapkan laporan tersebut pada Rabu lepas dan sekarang sudah diedarkan di Dewan,” katanya.

Jelas beliau, sekarang ini terpulang pada kerajaan untuk menerima atau tidak syor yang diberikan oleh jawatankuasanya dalam laporan terbabit.

Ramkarpal juga berkata beliau dimaklumkan RUU tersebut ditangguhkan kerana  ingin memberi masa untuk melihat syor dan kandungan laporan pihaknya.

“Mereka kena perlu masa untuk tengok saranan dan kandungan laporan, itu kena tanya menteri lah,” katanya.

Kerajaan sebelum ini menerima tekanan daripada polis dan pembangkang supaya tidak menubuhkan IPCMC, badan yang dicadangkan daripada laporan suruhanjaya siasatan diraja mengenai pasukan polis pada 2005. – 3 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen